Madu kelulut Kinyau memang terbaik

HINDARI pembakaran terbuka dan tanam pokok bunga. Itu sebahagian syarat penting untuk memelihara kelulut agar madunya sentiasa berkualiti dan tahan lama.

Namun bagi penternak kelulut Bukit Kinyau, mereka cukup bertuah kerana persekitaran semulajadi kawasan itu ditumbuhi pokok akasia, gelam dan gelunggang yang menjadi kegemaran serangga berkenaan.

Malah suasana tenang dan bersih perkampungan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Sarikei itu juga menjadi menjadi tarikan utama kelulut untuk membiak.

Jamaluddin menunjukkan madu kelulut segar miliknya.

Penternaknya, Mohd Jamaluddin Man berkata, sebahagian besar madu kelulut yang dihasilkan di Bukit Kinyau untuk kegunaan sendiri dan hanya dipasarkan jika ada permintaan.

Menurutnya, alam semula jadi kawasan tersebut bagaikan satu anugerah kerana mereka tidak perlu menanam terlalu banyak pokok bunga.

“Kami membina sarang kelulut berhampiran rumah di pinggir hutan. Ia tidak memerlukan kos tinggi, mudah dijaga dan kelulut juga mengeluarkan madu yang banyak.

Menternak kelulut umpama terapi diri Jamaluddin.

“Bagi saya menternak kelulut umpama terapi diri. Jika ada kelapangan sama ada waktu pagi atau petang, saya akan ke belakang rumah untuk melihat sarang-sarang kelulut ini,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Jamaluddin yang juga Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kinyau berkata, inisiatif itu merupakan usaha mereka menyediakan sumber makanan berkhasiat di samping membantu mewujudkan persekitaran kediaman lebih bersih dan sihat.

Malah katanya, ia juga menjadi sumber pendapatan sampingan kepada penduduk Kinyau yang sebahagian besarnya petani dan nelayan sungai.

Sarang kelulut dibina di pinggir hutan bagi memudahkan pembiakannya.

Menurutnya, setakat ini hanya empat keluarga yang terlibat mengusahakan ternakan berkenaan secara kecil- kecilan.

“Sarang- sarang kelulut yang menggunakan pokok kayu seperti nyireh kami tebang sendiri. Pokok jenis itu banyak tumbuh di kawasan ini.

“Setiap sarang jika dijaga dengan baik, ia boleh menghasilkan madu kelulut dengan purata pendapatan RM100 untuk satu kilogram,” katanya.

Bercerita tentang khasiat, beliau berkata, madu serangga itu mempunyai banyak kelebihan termasuk mampu menjadi penawar pelbagai penyakit.

“Antaranya penyakit kulit, strok, diabetes, strok, kanser, jerawat, menguatkan tulang, asma, ulser, mencegah batu karang, mengurangkan kolestrol dan lain-lain lagi.

“Dalam pada itu, kami masih memerlukan bimbingan agensi berkaitan bagi membantu meningkatkan pengeluaran madu selain pasaran untuk kelulut Kinyau,” tambahnya.

Serangga ini keluar ketika cuaca panas.
Serangga ini keluar ketika cuaca panas.