Magro sah ketua jurulatih Sarawak United A

Bakal beraksi gaya Valencia?

JUAN Carlos Magro Oliva. Itu nama ketua jurulatih pertama Sarawak United A.

Beliau dijangka menandatangani kontrak dengan Sarawak United pada minggu ini, namun telah berada di Bumi Kenyalang dan melatih skuad utama Sarawak United A, hampir sebulan.

Berusia 44 tahun pada 27 Mac depan, Magro yang berasal dari Valencia, Sepanyol, pernah menjadi jurulatih akademi kelab Valencia CF. Berpengalaman 16 tahun sebagai jurulatih peringkat umur, beliau pernah menjadi pengurus pasukan bawah 19 tahun KB Leiknir sebelum menjadi jurulatih Akademi Real Madrid di Guangzhou.

Memiliki lesen kejurulatihan profesional, Magro yang dipilih daripada kalangan lima calon lain kini dibantu oleh Safri Amit bagi memantapkan pasukan baharu ini yang akan beraksi dalam Liga Premier 2020.

Menurut sumber, Magro kini sedang memuktamadkan senarai pemainnya dan akan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya.

“Pada minggu pertama dan kedua beliau memberi tumpuan kepada latihan kecergasan dan memantapkan teknikal. “Dan setelah mengenal pasti pemain yang dipilih, beliau akan menerapkan elemen taktikal,” kata sumber itu lagi.

Ketika ini, pasukan Sarawak United enggan mendedahkan butiran mengenai pasukan tersebut. Latihan bagaimanapun berlangsung seperti biasa, dan difahamkan kebanyakan pelatihnya merupakan barisan pemain daripada skuad Sarawak FA pada tahun lalu.

Beberapa pelatih luar dan import juga kelihatan, namun tidak diketahui status mereka sehingga kini.

Menjadi tanggungjawab Magro untuk membina pasukan yang kuat pada musim ini, bagi membolehkan Sarawak United A kembali ke pentas Liga Super.

Pada masa yang sama, pada Sabtu dan Ahad ini, Sarawak United B akan mengadakan pemilihan terbuka kepada anak-anak Sarawak dan mereka yang berminat menyertai pasukan itu yang akan beraksi dalam Liga M3.

Pemilihan bermula pada jam 9 pagi di Stadium Negeri. Apabila dipilih kelak, para pemain terbabit akan berlatih dan beraksi di Shah Alam, kerana pembelian pasukan Selangor United sebelum ini turut melibatkan pembelian fasiliti pasukan tersebut.

Suara Sarawak