Mahathir mungkin dilantik semula jadi PM, lakar sejarah negara tiga kali jadi Perdana Menteri

KUCHING: Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin menjadi Perdana Menteri semula, jika Yang di-Pertuan Agong menolak peletakan jawatan dan menitahkannya untuk memimpin barisan kabinet baharu, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang.

Menurutnya, ia memandangkan Mahathir mempunyai sokongan kuat daripada sebahagian besar Ahli Parlimen untuk memimpin.

“Duli Yang Maha Mulia mungkin bebas, demi melihat kestabilan negara dan ekonomi terus dipelihara, baginda mungkin berpaling kepada Tun M untuk memimpin barisan kabinet baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah apa yang berlaku juga mungkin menyaksikan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri berkecai lagi.

Jelasnya, ia kerana Anwar tidak mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen untuk mengambil alih kerajaan.

Ia ditambah lagi dengan keputusan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden Zuraida Kamaruddin bersama pemimpin PKR Sarawak iaitu Baru Bian, Ali Biju dan Willie Mongin termasuk enam lagi Ahli Parlimen PKR yang lain keluar parti.

Malah, katanya sokongan terhadap Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu juga terjejas susulan keputusan Bersatu keluar daripada PH.

“Di mata Anwar, Lim Guan Eng dan Mat Sabu, Tun M telah menepati janjinya dengan mengundur diri hari ini dan menyerahkan baton kepada Anwar.

“Tetapi persoalannya, adakah Anwar mendapat sokongan dalam Parlimen untuk mengambil alih kerajaan?” katanya.

Suara Sarawak