KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak saman fitnah Kerajaan Sarawak terhadap Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Wong Soon Koh.
Keputusan tersebut dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin Soo Yin.
Christopher Chin menyatakan bahawa saman itu ditolak atas alasan perkataan yang dikeluarkan oleh defendan (Wong Soon Koh) adalah tidak berunsur fitnah terhadap plantif (Kerajaan Sarawak).
“Mahkamah mendapati bahawa plantif (Kerajaan Sarawak) sepatutnya menggunakan kabinet yang ditubuhkan seperti Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai plantif,” katanya.
Kes yang berakhir selepas perbicaraan selama sepuluh hari itu telah dihadiri tujuh saksi utama daripada plantif dan tiga daripada defendan.
Terdahulu, Kerajaan Sarawak mendakwa Soon Koh telah memfitnah dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 9 Mei lalu yang mempersoalkan penyelesaian Cukai Jualan Negeri (SST) dengan Petronas.
Kerajaan Sarawak diwakili oleh peguam Datuk Seri JC Fong serta Pegawai Undang-Undang Negeri Mohd Adzrul Adzlan, dan Anisa Jamil.
Manakala, Wong Soon Koh diwakili peguam Jonathan Tay, Clement Wong, Then Siaw Lien dan Yvonne Sia.