TOKYO: Mahkamah tinggi di sini, telah menolak rayuan anak perempuan keempat Shoko Asahara (nama sebenarnya Chizuo Matsumoto), ketua kultus Aum Shinrikyo, untuk mendapatkan abu mayat ayahnya. Pada bulan September lalu mahkamah telah memberikan hak pemilikan abu mayat itu kepada anak perempuan kedua mendiang.
Pada Julai 2018, abu mayat mendiang telah disimpan di penjara Tokyo sementara Kementerian Kehakiman memutuskan siapa di antara ahli keluarga mendiang yang patut menerimanya, lapor Sankei Shimbun, seperti dipetik Japan Today. Sejak itu balu Matsumoto dan anak perempuan keduanya berbalah dengan anak perempuan keempat terkait hak kepada abu mayat termasuk rambut mendiang.
September 2020, Mahkamah Keluarga Tokyo memutuskan untuk memperkenankan anak kedua mendiang hak kepada abu mayat mendiang, bagaimanapun anak keempat mendiang memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Tokyo yang kemudiannya ditolak pada Rabu.
Ketika menunggu hukuman mati, Maqtsumoto dilaporkan meminta supaya anak perempuan keempatnya menjadi penerima abu mayatnya kelak.
Kecewa dengan keputusan itu, anak keempat mendiang mengarahkan peguamnya memfailkan rayuan ke Mahkamah Agung untuk membatalkan keputusan itu. -Japan Today