Mahu lebih banyak calon wanita

KUCHING: Seperti Wanita PBB, Wanita PRS dan Wanita PDP mahu lebih banyak calon wanita ditampilkan dalam pilihan raya negeri atau pilihan raya parlimen akan datang.

Ketua Wanita PRS Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata dalam pilihan raya lalu, sentiasa menjadi hasrat sayap Wanita untuk melihat parti mengemukakan lebih banyak calon wanita.

Beliau ditanya tentang kemungkinan lebih banyak calon wanita dikemukakan dalam pilihan raya negeri akan datang daripada PRS.

Katanya di Sarawak sekitar 50 peratus penduduk ialah wanita, begitu juga dari segi pengundi berdaftar.

Sarawak mempunyai 50.32 peratus atau 623,106 pengundi wanita berdaftar daripada 1.2 juta pengundi keseluruhannya.

Namun, katanya, sayap Wanita akan akur kepada konsensus dan keputusan parti yang diterajui Tan Sri Dr James Jemut Masing.

“Yang penting adalah untuk GPS memenangi semua kerusi dalam kedua-pdua pilihan raya itu,” tegasnya.

GPS yang ditubuhkan pada 12 Jun 2018  terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Ketua Wanita PDP Datuk Chiew Yen Chew pula mengakui bahawa jumlah wakil rakyat daripada kalangan wanita masih jauh daripada memadai.

Justeru, beliau berharap untuk melihat lebih banyak calon wanita bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“Tersapat banyak wanita yang bergiat aktif dalam bidang sosial dan politik, dan mereka lebih daripada berupaya dan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat jika diberi peluang,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap untuk menyaksikan lebih banyak calon wanita dikemukakan dalam pilihan raya negeri dan PRU akan datang.

Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah sebelum ini dilaporkan sebagai berharap bilangan calon wanita tidak dikurangkan, sebaliknya ditambah dalam pilihan raya negeri akan datang.