LUNDU: Lebih banyak perubahan dan kemajuan dimahukan oleh penduduk di kawasan DUN Opar kepada bakal Adun yang terpilih di kawasan ini nanti dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).
Peniaga kedai runcit di Pusat Penjaja Sempadan Biawak, Defiyanti Saiful Bahari, 46, berkata dia mahu lebih banyak perubahan, penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan dinaik taraf.
“Kalau boleh YB sendiri yang turun padang melihat, bukan setakat tulisan sahaja dia lihat, ini sudah itu sudah.
“Jadi harapan saya untuk bakal YB akan datang kalau boleh, tiada perbezaan antara kampung, kerana kita boleh lihat sendiri, ada jalan yang sudah berturap semua dari Lundu ke sini, tetapi kampung saya ada lagi yang belum berturap,” katanya yang ditemu-bual.
Sementara, Margaret Edward, 58, yang sudah setahun lebih berniaga sayur-sayuran di Pusat Penjaja Sempadan Biawak berharap kerajaan baharu nanti akan lebih baik daripada sekarang, dalam meningkatkan dari segi ekonomi masyarakat.
“Semuanya okay, aman tetapi kehidupan belum maju sangat. Kalau boleh, kerajaan baharu nanti saya mahu lebih maju dari sekarang dan lebih baik daripada kerajaan sebelum ini. Boleh majukan lagi.
“Untuk ekonomi kami peniaga, di sini sunyi sebab tidak begitu ramai pengunjung sebab jauh di pedalaman dan jauh dari bandar,” katanya yang sebelum ini hanya berniaga dari rumah ke rumah sahaja.
Dalam pada itu, dia berharap pintu sempadan dibuka sekiranya keadaan Covid-19 ini nanti sudah reda bagi membantu keadaan ekonomi peniaga di sini.

