ARTIKEL

Mahu tolong kawan, wanita berdepan hukuman mati bawa bagasi dadah 17 kilogram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang wanita ejen insuran mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar ganja seberat lebih 17 kilogram.

Maxine Rose, 27, membuat pengakuan tersebut dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Zaleha Rose Pandin di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 kali sebatan sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan terbabit di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 28 April lepas selepas pihak melaporkan Jabatan Kastam Diraja Sarawak (JKDMS) menahannya yang tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur bersama imbasan bagasi yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 18 bungkusan dadah jenis ganja seberat 18.2 kilogram dibaluti dengan kertas hadiah dan kertas karbon.

Semasa tangkapan, tertuduh mengaku dia tertarik dengan tawaran pekerjaan di sebuah syarikat di Serian yang berjanji bertemu di Kuala Lumpur, sehingga sanggup membawa bagasi besar yang dikirim rakannya semasa balik ke Kuching.

Mahkamah kemudian, menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Januari 2022.

Sementara menunggu sebutan kes, tertuduh akan direman di Penjara Puncak Borneo.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Roger Chin dan Osman Ibrahim.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU