BUNGIN: Industri e-sukan bukan sekadar satu permainan tetapi memiliki prospek besar dalam ekonomi selain berupaya mengembangkan potensi anak muda dalam kemahiran sosial dan tingkah laku prososial seperti sikap saling menolong, kerjasama serta semangat berpasukan.
Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, kelompok belia terutama di luar bandar disaran menceburkan diri dengan aktif dalam industri e-sukan kerana ia menawarkan peluang besar.
“Malahan, ibu bapa harus membuka mata melihat e-sukan sebagai satu aktiviti yang memberikan banyak kelebihan dan faedah, bukan hanya melihat ia sebagai aktiviti melalaikan.
“Sukan ini mampu memberikan impak positif jika dilakukan secara serius dan profesional misalnya meningkatkan kemahiran sosial, mereka mendapat kepuasan melakukan sesuatu yang disukai dan mendapat bayaran hasil daripada minat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Cabaran e-sukan PUBG Terbuka Saribas di sini, semalam.
Jelasnya, e-sukan menurut kajian Yildiz Technical University berpotensi mewujudkan persekitaran sosial untuk persahabatan dan menguatkan hubungan pelbagai dengan pemain lain dari serata dunia.
“Melalui e-sukan, seseorang itu mempelajari kemahiran sosial dan tingkah laku prososial seperti sikap saling menolong, kerjasama dan semangat berpasukan kerana kesemua permainan di dalam e-sukan berkonsepkan permainan berkumpulan.
“Justeru itu, komunikasi dapat dipertingkatkan dan kemahiran berpasukan juga semakin berkembang.
“Kebanyakan permainan e-sukan memerlukan kemahiran taktikal dan menyusun strategi, secara tidak langsung membantu membina kemahiran untuk pemain membuat keputusan yang bijak dalam masa singkat…kemahiran menyelesaikan masalah turut dipelajari,” ujarnya.
Razi menggesa penglibatan aktif belia agar memanfaatkan perkembangan teknologi semasa dan menjauhi gejala sosial penyalahgunaan dadah dan berkait dengannya.
“Saya yakin, e-sukan yang semakin popular mampu dijadikan aktiviti bermanfaat mengisi masa lapang.
“Bagaimanapun saya berharap, jangan sesekali mengabaikan pelajaran…bahagi masa dengan betul agar kita mampu berjaya dalam pelajaran termasuk berjaya dalam minat yang diceburi seperti e-sukan,” tambahnya.
Cabaran e-sukan PUBG kali ini disertai 20 pasukan dengan penyertaan 80 anak muda.