Setiap organisasi, syarikat, pertubuhan dan sebagainya pasti ada ketua yang membimbing serta menjaga hal ehwal pekerja.
Oleh itu, sebagai majikan atau ketua seharusnya memiliki sifat yang menggambarkan dirinya berwibawa, berakhlak mulia dan berwawasan.
Bertepatan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza wa jalla mencintai seseorang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.” (maksud hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath) Jikalau kita perhatikan dalam Islam mengangkat kedudukan ketua merupakan jawatan penting, bahkan ia merupakan nadi bagi sesebuah kumpulan.
Disebabkan itu, menjadi kemestian bagi majikan dan ketua memiliki ciri-ciri pemimpin dalam dirinya kemudian mampu memimpin sesiapa sahaja yang berada bawah penguasaannya sebagai ketua.
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daripada kamu ialah pemimpin dan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah kamu; pemerintah ialah pemimpin dan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; lelaki ialah pemimpin kepada anggota keluarganya dan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; wanita ialah pemimpin di rumah suaminya dan dipertanggungjawab terhadap anaknya dan pimpinannya; dan khadam diamanahkan ke atas harta tuannya serta dipertanggungjawabkan terhadap apa-apa yang berada di bawah amanahnya. ”(maksud hadis riwayat Bukhari)
MAJIKAN AMANAH
Allah SWT berfi rman dalam al-Quran: “Wahai orang beriman, jangan kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (maksud al-Anfal: 27) Amanah merupakan ciri-ciri terpenting yang wujud dalam diri pemimpin kerana sifat ini membawa seseorang itu untuk sentiasa berhati-hati melakukan keputusan dan sentiasa memelihara hak pekerja.
Sifat amanah memelihara seseorang itu daripada melakukan apa-apa sahaja perkara haram terutama melibatkan harta seperti melakukan rasuah, menzalimi hak pekerja, berdusta dan melakukan pekerjaan yang bertentangan dengan syariat Allah SWT.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kaki anak Adam tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari kiamat, sehingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.” (maksud hadis riwayat al-Tirmizi) Tanggungjawab yang diberi perlu dilaksanakan dengan amanah dan menghindari diri daripada terjebak dengan gejala yang boleh menjerumuskan seseorang dengan kemungkaran.
Islam amat menitikberatkan ehwal tanggungjawab dan amanah yang dipikul seseorang itu.
Seseorang yang dipilih atau diangkat sebagai pemimpin sewajarnya memiliki keupayaan berlaku amanah ke atas tanggungjawab.
Apatah lagi sekiranya seseorang itu memegang jawatan yang besar seperti menteri, ketua kaum dan sebagainya.
Contohilah Nabi Yusuf AS ketika dilantik menjaga perbendaharaan negara. Allah SWT berfi rman: “Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaikbaiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.” (maksud Yusuf: 55).