Majikan didakwa melindungi Pati

KUCHING: Seorang majikan didakwa di Mahkamah Sesyen Sibu kerana melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada penduduk yang boleh membenarkan mana-mana imigran haram untuk masuk atau tinggal di mana-mana premis.

Katanya seramai 45 orang Pati telah ditangkap di premis tertuduh kerana didapati telah tinggal di premis miliknya.

“Tertuduh mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara tiga bulan (bagi setiap orang).

“Tertuduh telah membayar denda sebanyak RM225,000,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara, kenyataan itu menambah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 10 kompaun iaitu lima Miri, Samarahan (3), Kuching (1) dan Padawan (1) kerana telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak mengeluarkan 107 notis amaran lisan dan bertulis di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu DBKU (34), MPP (29), SMC (20), MD Marudi (15), MD Serian (4), MD Limbang (2), BDA (1), MD Subis (1) dan MD Lawas (1).