ARTIKEL

Majikan menggaji PATI perlu segera daftar pekerja sebelum Program RTK 2.0 tamat 31 Disember

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Majikan di negeri ini yang menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) diingatkan agar hadir segera mendaftarkan golongan pekerja terbabit di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata ia kerana sebaik peluang untuk majikan meregularisasikan pekerja yang ditakrifkan sebagai PATI itu tamat, mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Pihak Kerajaan Sarawak mengingatkan majikan bahawa selepas tempoh pelaksanaan Program RTK 2.0, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap PATI melalui operasi penguatkuasaan secara besar-besaran.

“Jika disabitkan kesalahan, majikan yang didapati menggaji PATI akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap seorang PATI yang diambil bekerja.

“Justeru itu, PATI dan majikan yang berhasrat untuk menyertai Program RTK 2.0 perlu berurusan secara terus dengan pihak JIM Sarawak dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Gerawat berkata PATI yang dibenarkan untuk didaftarkan di bawah Program RTK 2.0 adalah warganegara asing yang melakukan kesalahan pada atau
sebelum 31 Disember 2022 di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas yang sah.

Selain itu Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, dengan tempoh sah laku dokumen perjalanan sekurang-kurangnya enam bulan.

Beliau menambah majikan yang beroperasi dalam sektor 3D iaitu ‘Dangerous, Difficult dan Dirty’ adalah dibenarkan untuk mengambil PATI dengan mendaftarkan
mereka sebagai pekerja dalam tempoh pelaksanaan Program RTK 2.0.

“Sektor-sektor yang terlibat adalah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian, perkhidmatan, perlombongan dan kuari termasuk pembantu rumah asing.

“Hanya PATI dari 16 negara sumber sahaja yang dibenarkan iaitu Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China.

“Walau bagaimanapun, permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dalam program ini,” katanya.

Gerawat berkata bagi tatacara urusan pendaftaran di bawah Program RTK 2.0, majikan perlu memohon secara dalam talian melalui portal JIM di www.imi.gov.my dengan klik ke pautan: PORTAL REKALIBRASI.

Katanya tiada bayaran deposit dikenakan kepada majikan setelah proses pendaftaran, dengan proses verifikasi akan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa, JIM Sarawak.

Beliau juga berkata majikan perlu mendapatkan kelulusan secara dasar (AP – Approval in Principle) bagi penggajian pekerja bukan pemastautin dan lesen menggaji di bawah Seksyen 119 Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) daripada JTK Sarawak serta majikan perlu hadir ke Bahagian Pekerja Asing JIM Sarawak setelah melengkapkan semua dokumen yang diperlukan.

Terdahulu, Gerawat berkata Kerajaan Sarawak melaksanakan Program RTK 2.0 sejak 26 Julai 2023 melalui JIM Sarawak dengan kerjasama daripada JTK Sarawak, dengan objektif untuk meregularisasikan PATI yang berada di Sarawak sebagai pekerja asing yang sah.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU