
KAPIT: Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Sarawak telah berlangsung di Masjid Jabal An Nur Kapit, malam tadi.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar hadir bagi mewakili Yang di Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Yasin dan zikir Marhaban yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan doa kesyukuran, solat fardu Isyak berjemaah dan jamuan makan malam.
Turut mengiringi Speaker Dun Sarawak ke majlis itu ialah isterinya Datuk Fatimah Mohd Iskandar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Datuk John Sikie Tayai dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Selain itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Timbalan Menteri Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni.
Majlis kesyukuran itu adalah sebahagian daripada acara utama sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah dengan Kapit telah dipilih sebagai tuan rumah pada tahun ini.
Manakala, acara kemuncak iaitu Majlis Jamuan Teh akan diadakan pada hari ini jam 9 pagi di Kapit Town Square.
Pada sebelah malam pula, orang ramai akan dihiburkan dengan Konsert Simfoni dan diiringi orkestra di lokasi sama yang akan menampilkan penyanyi-penyanyi tempatan Sarawak.
