DARO: Lebih 6,000 penduduk dijangka hadir memeriahkan majlis pecah tanah Jambatan Muara Lassa pada 8 September depan.
Majlis perasmian program bersejarah itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Sehubungan itu, Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi berkata, jawatankuasa penganjur program membuat persiapan rapi bagi membolehkan program berkenaan berjalan lancar mengikut perancangan.
Perjumpaan itu katanya, adalah susulan daripada mesyuarat jawatankuasa pertama pada 13 Julai lalu.
“Kita membuat persediaan rapi selain mendapat laporan yang agak lengkap daripada semua jawatankuasa yang terdiri daripada jabatan dan agensi yang berkaitan di bahagian Mukah,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur majlis di Pejabat Daerah di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran majlis tersebut membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan kemudahan untuk rakyat khususnya di kawasan pesisir.
Menurutnya, jambatan Muara Lassa sepanjang 2.43 kilometer dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dengan kos RM597.58 juta merupakan pelengkap jalan pesisir sepanjang 896 kilometer di Sarawak.
Selain perasmian Jambatan Muara Lassa katanya, jawatankuasa juga menyentuh mengenai majlis pecah tanah untuk Jambatan Batang Paloh yang dijangka diadakan pada awal tahun depan.
“Penganjuran majlis ini membuktikan Kerajaan Sarawak tidak bercakap kosong, sebaliknya kita rancang, kita bina, kita lulus dan kita bina. Bukan sekadar mengumumkannya kepada rakyat tetapi juga berjaya melaksanakannya dengan menggunakan dana kita sendiri.
“Sebelum ini, ramai yang tertanya-tanya bolehkah kita buat ? Hari ini kita membuktikan Kerajaan Sarawak mampu melakukannya. Malah, sebahagian besar kerja di lapangan sudahpun bermula,” katanya.
Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer membabitkan kos RM298.98 juta dan dijangka siap pada 7 Mei 2023. Kemudahan itu bakal menggantikan perkhidmatan feri dari Serdeng ke Pulau Bruit.
Hadir sama, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

