Majlis Penganugerahan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri Sarawak ditangguhkan

KUCHING: Majlis Penganugerahan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 11 dan 18 November depan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Astana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia sebagai mematuhi arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 7 November lalu.

Sementara itu, Astana Negeri Sarawak memaklumkan majlis raptai penganugerahan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 10 dan 17 November turut dibatalkan.

Sehubungan itu, semua penerima yang dijemput untuk hadir ke majlis berkenaan diharapkan agar mengambil maklum di atas arahan penangguhan itu.

Terdahulu, Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPK) berkuat kuasa 9 hingga 22 November ini.

Ia susulan kes jangkitan tempatan direkodkan di daerah Kuching meningkat sebanyak 151 kes dalam tempoh 14 hari.

Suara Sarawak