Trending

Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Sarawak bakal ditubuhkan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika ditemui pemberita.

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti bakal menubuhkan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Sarawak sebagai langkah melaksanakan inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFC).

Menurut menterinya, Datuk Sri Fatimah Abdullah, ia dimulakan melalui lima perbandaran iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Kita akan turut bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengenal pasti kanak-kanak yang berpotensi, mereka yang berumur di bawah 18 tahun untuk dilantik sebagai perwakilan dalam majlis tersebut.

“Mereka yang dilantik ini kelak boleh bekerjasama dengan pihak perbandaran masing-masing untuk menyuarakan pendapat serta kemahuan golongan berkenaan. Dari situ kita boleh merangka, merancang dan melaksanakan aktiviti, program serta dasar berkaitan kanak-kanak, termasuk dari segi bajet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Merasmikan Kompleks Komuniti Baharu The Salvation Army di Kota Samarahan, hari ini.

Sementara mengenai bila majlis tersebut akan ditubuhkan, Fatimah memberitahu pihaknya sudah menetapkan tarikh

“Pihak kementerian kita sudah berbincang dan menetapkan tarikh untuk penubuhan majlis tersebut dalam mesyuarat semalam.

“Tetapi ia tertakluk kepada persetujuan daripada lima perbandaran yang terlibat tadi. Apabila semua perbandaran tersebut bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan untuk kawasan masing-masing, barulah kita mengumumkan kepada orang ramai.

“Usaha ini adalah salah satu fokus kita menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju dan makmur. Ini kerana sesebuah kawasan CFC menyumbang indeks kesejahteraan yang tinggi seperti ditetapkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” ujarnya. 

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

8 December 2023

Berita Terbaru