Majlis sosial dan aktiviti perhimpunan dilarang

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan bahawa semua majlis sosial dan aktiviti perhimpunan tidak dibenarkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).
Menurut JPBNS, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian telah diarah untuk memantau semua aktiviti sosial dan perhimpunan di bahagian masing-masing.
“Arahan ini berkuat kuasa serta merta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menangkap seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) iaitu penjaga muzik kafe di Bintulu kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
Selain itu, katanya sebanyak 40 kompaun telah dikeluarkan iaitu di daerah Kuching (18), Bintulu (10), Samarahan (5), Sibu (4) Padawan (2) dan Saratok (1) kerana telah melanggar SOP.
Manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah mengeluarkan 143 notis amaran lisan dan bertulis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seliaan mereka iaitu DBKU (58), MPP (35), SMC (21), MBKS (12), MD Marudi (6), BDA (4), MB Miri (4) dan MD Serian (3).

Suara Sarawak