Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak diadakan 17 hingga 19 ini

KUCHING: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 1442H/2021M akan diadakan pada 17 hingga 19 April ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, majlis tersebut diadakan kembali selepas tidak diadakan pada tahun lalu susulan daripada penularan pandemik Covid-19.

Katanya, pada tahun ini majlis tersebut akan diadakan di Dewan Kompleks Islam Sarawak dengan tema yang sama seperti dua tahun lalu iaitu Ummah Rabbani Negara Harmoni.

Bagaimanapun katanya lagi, majlis itu tidak terbuka kepada orang ramai dan terhad kepada 200 jemputan sahaja selaras dengan usaha mematuhi garis panduan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Setiap tempat duduk akan diasingkan dengan jarak satu meter, penyediaan cecair sanitasi tangan, pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta mengambil suhu badan jemputan dan peserta di pintu masuk.

“Dari segi kaedah penyampaian hadiah pula, tiada kontak fizikal di antara penerima dan penyampai hadiah pada majlis itu.

“Hadiah akan diletak di atas satu platform dan tetamu kehormat hanya akan berdiri di atas pentas, tetapi tidak menyampaikan hadiah secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Tilawah dan menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, hari ini.

Abdul Rahman menambah, Majlis Islam Sarawak (MIS) akan menyediakan siaran secara langsung melalui Facebook untuk memastikan masyarakat luar dapat mengikuti majlis ini.

“Bukan itu sahaja, kita akan bekerjasama dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) bagi menyediakan siaran langsung pada tiga hari penganjuran majlis ini.

“Sekiranya ada yang ingin hadir ke majlis ini, mereka boleh berhubung dengan sekretariat kami untuk melakukan jemputan kerana kita ingin memastikan jemputan bagi majlis ini tidak melebihi 200 orang,” jelasnya.

Suara Sarawak