
KUCHING: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak kini kembali selepas dua tahun tidak dianjurkan berikutan penularan pandemik Covid-19.
Dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 28 Februari ini bertempat di Dewan Kompleks Islam Sarawak, pertandingan tahun ini bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’.
Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, seramai 23 peserta dari seluruh negeri akan mengambil bahagian pada kali ini.
“Objektif utama adalah untuk menyemarakkan lagi semangat cinta umat Islam kepada Al-Quran, dalam masa yang sama melahirkan lebih ramai Qari, Qariah, Hafiz dan Hafizah yang berkaliber.
“Selain untuk meningkatkan dan memantapkan lagi usaha serta matlamat kita untuk mengilap dakwah ke arah memperkukuhkan keimanan dan ketaqwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal merasmikan pertandingan tersebut pada 27 Februari, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari.