Mak, syurga di mana?

KABONG: Masihkah anda ingat, tanggal 23 Disember lalu penduduk kampung digemparkan dengan kehilangan anak istimewa seorang OKU dan sehingga hari ini, masih hilang.

Menjelang 23 Jun ini, genap enam bulan Nur Syuhadah Fatihah Imam, 11, tidak pulang ke rumah.

Kepulangannya sentiasa dinanti walaupun terdetik dalam hati mereka, mungkinkah anak bongsu itu sudah tidak bernyawa lagi.

Pahit untuk ditelan, menangisi kehilangan yang tiada jawapan. Jika telah tiada, di mana kuburnya? Jika masih hidup, di mana keberadaannya?

Suara Sarawak menemui keluarganya di Kampung Hilir Kabong semalam dan berkongsi kisah di sebalik anak kecil itu.

Tatkala orang lain meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan, ibunya Rosina Jaini, 54, bergenang air mata mengenang nasib Fatihah yang masih tidak diketahui nasibnya di luar sana.

Rosina bagaimanapun kelihatan tabah, reda dan cukup terbuka bercerita tentang anaknya yang selesa disapa Siyak.

Pada hari kejadian Fatihah dilaporkan hilang, beliau menyedari beberapa kelainan dirasainya termasuk anak emasnya itu.

“Benar, naluri seorang ibu tidak pernah silap.

“Hari itu saya begitu berat hendak melepaskan Fatihah keluar untuk bermain. Saya tidak mahu dia keluar rumah… dan saya hairan rasa itu terlalu kuat.

“Fatihah pula pada hari tersebut memberontak mahu bermain di luar. Dia hendak mengikut bapanya. Namun saya tidak benarkan sehingga saya menghiburkannya dengan bermain congkak di rumah. Dia peluk cium saya beberapa kali.

“Sebelum dia disedari keluar rumah pada petang itu, Fatihah mandi dan enggan menggunakan baju dipilih si kakak seperti selalu. Dia berkeras untuk memakai baju pilihannya sendiri.

“Hari itu, saya masih ingat, dia begitu berselera makan nasi goreng sebelum keluar rumah sekitar jam 3.00 petang.

“Setelah beberapa ketika, bapanya Imam Kapi, 55, turun keluar rumah untuk melihatnya bermain… pada mulanya ada, tetapi selepas memandangnya untuk kali kedua, dia lesap.

“Kami hanya menemui selipar, pancing dan air yang dipercayai milik Fatihah di atas jeti berhampiran sungai.

“Lebih pelik, sebelum ini dia tidak pernah bermain di sungai… tetapi mengapa hari itu?

“Hati ibu mana yang tidak meraung dan menangis, namun saya percaya semuanya aturan Allah SWT. Saya dan keluarga reda namun jauh di sudut hati, kepulangan Fatihah sesuatu yang masih didamba.

“Kalau tidak bernyawa sekalipun, tunjukkan jasadnya,” kata ibunya penuh harapan.

Jelasnya, Fatihah mengajarnya bagaimana mendidik serta membesarkan anak istimewa dikurniakan oleh Yang Maha Esa.

“Saya setiap hari berasa susah hati, pintu rumah sentiasa dikunci kerana dia suka keluar, tambahan pula dia perempuan, kedua dia sering dibuli. Setiap kali ada orang mengganggu, dia akan mengadu kepada saya.

“Walaupun begitu, bagi saya Fatihah seorang anak yang berperwatakan lembut, penuh dengan kasih sayang dan memahami.

“Secara fizikal dan usia, dia sepatutnya matang tetapi saya rasa seolah-olah memelihara anak kecil. Kalau di rumah, kita yang mengurusnya. Tetapi di luar, dia terlalu baik dengan orang lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sebelum itu Fatihah sering bertanya bagaimana keadaan syurga.

“Dia seolah-olah memberitahu saya. Mak, syurga macam mana? Ada bau wangikan mak?

“Itu yang membuatkan saya amat terharu. Dia seolah-olah dapat membayangkan perkara tersebut.

“Sama juga sebelum tidur, dia akan membaca Al-Fatihah setiap kali sebelum tidur malam.

“Begitu juga ketika hendak turun ke sekolah, dia akan bersalam sambil peluk cium semua ahli keluarga yang ada di rumah… semua itu kenangan terindah kami bersama-sama Fatihah,” jelasnya.

Selain itu perkara lain yang menarik ialah sekolah Fatihah, SK Abang Leman Kabong menyediakan sabun untuk kegunaan di tandas atau bilik air.

“Setiap kali apabila hendak membuang air besar, dia akan mencari sabun… saya difahamkan sebelum ini tiada sabun disedia- kan. Oleh itu kadang-kadang dia sanggup pulang ke rumah. Jadi, menimbulkan rasa hairan dalam kalangan guru.

“Justeru, bermula tahun lepas sekolah tersebut mula menyediakan sabun untuk kegunaan di tandas atau bilik air.

“Seperkara lagi, Fatihah sebelum kehilangannya pernah memenangi cabutan nama bertuah berupa seterika dalam satu program di Kabong.

“Dia balik dengan perasaan teruja dan itulah antara kenangan kami anak-beranak yang tidak mungkin dapat dilupakan,” katanya.

Sementara itu bagi ayahnya, Imam Kapi, 55, dia tidak akan berhenti mencari Fatihah.

SEBAK … Imam dan Rosina menunjukkan gambar keluarganya yang diambil tiga tahun lalu dan kelihatan Fatihah tidak memandang ke arah lensa kamera.

“Walaupun tidak secara langsung, tetapi ikhtiar saya ada. Saya tidak berpuas hati selagi jasad Fatihah tidak ada di depan mata.

“Waima selepas pasukan SAR menamatkan operasi mencari, saya keseorangan meneruskan pencarian di darat mahupun di laut. Namun, hampa dan tiada sebarang tanda ditemukan.

“Jujur saya katakan, kenakalan dan kelincahannya seolah-olah sentiasa ada bersama-sama kami sekeluarga,” tambahnya yang percaya anaknya lemas ekoran penemuan selipar di jeti berhampiran sungai ketika kejadian.

Menurutnya, pelbagai kaedah pencarian digunakan semata-mata untuk menjejak Fatihah. “Kami walaupun sedikit terkilan apabila ada pihak yang sengaja menimbulkan andaian kurang enak dengan mengatakan Fatihah dibaham buaya atau dibunuh.

Namun, kita reda dan berserah kepada Allah SWT,” tambahnya.

Manakala salah seorang kakaknya Nazirah Imam, 33 turut berkongsi Fatihah tiga hari sebelum hilang ada meninggalkan pesanan suara kepadanya.

“Dia tanya, bila saya balik… dia suruh saya balik.

“Sebelum raya tahun lepas pun ada juga dan saya simpan pesanan suara tersebut sebagai pengubat rindu kami sekeluarga kepada Fatihah,” jelasnya.

Fatihah merupakan anak bongsu daripada enam adik-beradik.

Selepas kejadian tersebut, Imam yang merupakan seorang nelayan serta keluarganya terus dibantu oleh pelbagai pihak.

Kini, mereka menunggu sebuah rumah PPRT yang dijanjikan dan dijangka dibina pada tahun ini.

Terdahulu, rumah saudara yang didiami kini sudah dibaiki atapnya.