Makanan perlu dihantar segera

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri memutuskan Pusat Khidmat Dun akan menghantar senarai sukarelawan yang bersetuju membantu penghantaran makanan sama ada dari segi logistik atau pengagihan.

Pengerusinya Datuk Lee Kim Shin berkata, satu mekanisme agihan bekalan makanan bagi setiap kawasan Dun telah dibincang dengan mengambil kira keupayaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Bahagian Miri yang terhad.

“Jawatankuasa kini mengambil berat akan hal ini kerana makanan perlu dihantar ke kumpulan sasar secepat mungkin. “Kita tak boleh tunggu lagi dan perlu memutuskan pendekatan yang lebih praktikal sama ada bagi kawasan bandar atau luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media  kelmarin.

Oleh itu beliau memberitahu, senarai lengkap sukarelawan yang mengandungi butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat, nombor plat kenderaan, destinasi, tujuan sama ada untuk penghantaran atau mengambil barang di kedai akan dihantar ke JKM.

“JKM akan mengeluarkan surat pengesahan kepada sukarelawan bertugas yang akan ditunjukkan kepada anggota keselamatan yang bertugas semasa sekatan jalan raya.

“Satu salinan akan diserah kepada pihak polis sebagai pemakluman bahawa sukarelawan tersebut bertugas mengagihkan makanan,” jelas Menteri Pengangkutan itu. Mengenai arahan Kerajaan Sarawak bahawa setiap Pusat Khidmat Adun perlu menyediakan makanan secepat mungkin, Kim Shin yang juga Adun Senadin mengesahkan hampir semua Pusat Khidmat Adun di sini sudah menerima barangan makanan seperti beras dan keperluan makanan harian lain untuk diagihkan kepada kumpulan sasar.

“Bagi memastikan agihan ini sampai kepada penerima, Pusat Khidmat akan berhubung dengan ketua masyarakat dan ketua kaum serta JKKK bagi membantu dalam pengagihan memandangkan ketua masyarakat lebih arif dengan lokaliti masing-masing,” ujar beliau lagi. Berkenaan insiden orang ramai yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan tampil ke Pusat Khidmat Senadin, Kim Shin menyeru agar orang ramai agar mematuhi perintah dan arahan yang dikeluarkan.

“Orang ramai dan orang kampung jangan percaya dengan apa-apa mesej yang disebarkan, seperti insiden yang berlaku pagi tadi (semalam). “Pusat Khidmat Senadin hanya menghubungi ketua kaum yang mewakili lokaliti masing-masing untuk mengambil barangan tersebut sebelum diagihkan kepada orang kampung di bawah seliaan,” tegasnya

Suara Sarawak