ARTIKEL

Makanan satukan masyarakat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SAMBUTAN perayaan Gawai Dayak masih lagi terasa dan meriah dengan adanya Bazar Gawai Dayak 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan bermula Jumaat lalu. 

Tinjauan Suara Sarawak di Bazar Gawai Dayak semalam mendapati gerai-gerai yang menjual makanan dikunjungi pelbagai masyarakat berbilang kaum.

Menurut Helvy Johnny, 29, perniagaan makanan Orang Ulu yang dikendalikan olehnya mendapat sambutan hangat.

“Pada mulanya saya risau tidak ramai yang berkunjung, ruparupanya mereka (pengunjung), teruja apabila dapat merasai dan melihat keunikan makanan Orang Ulu. 

“Ada dalam kalangan mereka pertama kali merasai air tangan Orang Ulu dan respons mereka sangat baik,” katanya. 

Helvy yang menjual kelupis, sayur rebung, daun ubi dan sup tempoyak ayam tua berharap gerainya terus dikunjungi pelanggan berbilang bangsa. 

Manakala peniaga air cendol, Marini Mahmud, 22, meluahkan rasa gembira dan teruja apabila diberi peluang untuk berniaga di bazar tersebut lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggannya daripada kaum Cina dan Iban. 

“Saya tidak menyangka kaum Cina dan Iban menggemari air cendol ini terutamanya cendol durian dan santan.

“Saya gembira berniaga di sini kerana kita boleh berkongsi pelbagai makanan unik kaum lain.

Dan, jangan risau kerana makanan halal dijual berasingan dengan makanan tidak halal,” katanya.

Peniaga sotong ketuk, Muhammad Faizul Salim, 42, turut berkongsi keterujaannya kerana rata-rata pengunjung yang membeli produk jualannya itu ialah pelanggan berbangsa Iban, Bidayuh, Cina.

“Mereka menggemari sotong ketuk ini kerana kuah sambalnya yang unik. 

Ada antara mereka membeli sambal sotong itu untuk dimakan bersama nasi,” ujarnya.

Menerusi temu bual dengan pengunjung, Mohd Aizuddin Eman Maringai, 25, ini merupakan pertama kali dia ke Bazar Gawai Dayak. 

“Saya teruja kerana banyak makanan menarik dijual di sini dan lebih menyeronokkan apabila kesemua bangsa datang berkunjung,” kata Aizuddin. 

Menurut Chong Chee Hang, 24, dia terkejut melihat pelbagai kaum melibatkan diri dalam Bazar Gawai Dayak ini.

“Saya tidak menyangka rupanya di sini bukan kaum Dayak sahaja yang berniaga rupanya Melayu dan Cina juga ada. 

“Di sini, seolah-olah satu keluarga yang besar.

Walaupun agama berbeza tetapi kita disatukan dengan makanan.

“Saya gembira melihat suasana ini dan berharap agar bazar seperti ini dapat diteruskan sebagai salah satu cara untuk memperkukuhkan perpaduan di Sarawak,” luah Chong.

Terdahulu, pelbagai aktiviti menarik berlangsung di Bazar Gawai Dayak 2023 seperti Malam Kesenian Orang Ulu, Bidayuh, Iban, Sarawak Got Talent Show, jualan kraf tangan dan persembahan kugiran artis terkenal Dayak. 

BERITA LAIN

Penghulu ‘hero’ kami

BINTANGOR: Tindakan pantas seorang penghulu berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada musnah dalam kebakaran di Kampung Abang Amin di sini, hari ini. Insiden kira-kira jam 10.50

BERITA TERBARU