Maklumat tepat, sahih dan pantas

KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) komited memperbaiki mutu perkhidmatan agar masyarakat setempat mendapat maklumat yang tepat, sahih dan pantas.

Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai berkata, usaha ini untuk merealisasikan visi LAKMNS untuk menjadi badan amanah Islam bertaraf dunia dan memudahkan masyarakat setempat.

“Antara usaha tersebut adalah memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat seperti media sosial dan laman web untuk berkomunikasi dengan masyarakat umum.

“Bagi menambah baik penyampaian maklumat, LAKMNS telah menaik taraf laman web organisasi tersebut supaya lebih informatif dan mesra pengguna,” katanya dalam program Sembang Teh Tarik, di Pusat Pengajian Al-Quran Tun Abdul Rahman Ya’kub (PATARY), semalam.

Mengulas mengenai menaik taraf laman web organisasi, beliau berkata, LAKMNS turut menambah siaran radio digital miliknya bagi memperkasakan sistem penyampaian.

“Jika sebelum ini Islamic Radio Sarawak (IRIS) bersiaran dari jam 11 pagi hingga 3 petang, kini LAKMNS akan memanjangkan siarannya dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

“Malah, LKMNS juga telah memperbaharui laman sesawang mereka dalam usaha memberi maklumat tepat, cepat dan sahih malah ia akan memberi maklumat yang lebih menarik kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa LAKMNS turut bekerjasama dalam agenda lain dengan menyediakan maklumat seperti penyediaan kiosk maklumat mengenai Masjid Bandaraya Kuching.

“Kita tahu masjid ini merupakan masjid terulung dan tertua di bandar raya Kuching
dan pendedahan maklumat dalam kiosk adalah sesuatu yang baik.

“Projek ini adalah usaha sama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Unimas dan Old Kuching Smart Heritage (Okshe),” jelasnya.

Sementara itu, dari segi perkhidmatan masyarakat, beliau memaklumkan bahawa LAKMNS turut berusaha memperbaiki dan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi pembinaan Kompleks Perkuburan Islam Semariang (SICC).

Jelasnya, ia akan dapat memenuhi semua elemen keperluan di bawah satu bumbung.

“Kompleks tersebut akan dilengkapi kiosk, surau, bilik mandi jenazah dan dewan terbuka juga boleh digunakan.

“Kami juga tidak ketinggalan dengan arus pemodenan. Pembinaan kompleks ini juga akan menggunakan teknologi hijau dalam pengendaliannya,” jelasnya.

Suara Sarawak