Maklumkan pelajar bas sekolah percuma

KUCHING: Sekolah perlu memaklumkan mengenai perkhidmatan bas sekolah percuma kepada pelajar masing-masing agar ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata, ini memandangkan masih terdapat pelajar dan ibu bapa yang belum mengetahui mengenai perkhidmatan bas sekolah percuma.

“Pelajar dan ibu bapa juga boleh memuat turun aplikasi Sarawak Free School Bus di Google PlayStore dan Apple AppStore,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak telah memulakan operasi semalam.

Azmi bersama-sama Pengarah Pendidikan Negeri Abang Mat Ali Abang Masagus dan pegawai lain turun padang seawal jam 6 pagi untuk memantau operasi perkhidmatan yang dijalankan di lebih 30 lokasi.

Menurut Azmi, perkhidmatan itu berjalan lancar pada hari pertama walaupun terdapat sedikit masalah mengenai laluan dan jadual.

Untuk maklumat lebih lanjut, hubungi Bahagian Program dan Bantuan di talian 082-441686 atau melalui e-mel ys@yayasansarawak. org.my. Perkhidmatan bas sekolah percuma di Sarawak kini menjadi realiti, selepas ia dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 15 Julai lalu.

Inisiatif Kerajaan Sarawak ini bagi menggalakkan ibu bapa menggunakan perkhidmatan bas sekolah bagi menghantar anak ke sekolah sekali gus mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan sekolah.

Selain itu dengan adanya inisiatif ini, pelajar tidak berdepan masalah untuk pergi ke sekolah.

Setakat ini dua bas beroperasi melibatkan 30 sekolah di sekitar Kuching dan Padawan yang akan memberi manfaat kepada 3,000 pelajar sekolah di kedua-dua daerah tersebut.

Suara Sarawak