MEMBELI dan memiliki rumah sendiri merupakan impian atau idaman setiap individu.
Keputusan untuk membeli rumah sangat penting dan merupakan satu langkah besar dalam kehidupan seseorang.
Ia bukan hanya memerlukan komitmen kewangan yang tinggi malah membeli rumah merupakan pelaburan jangka panjang.
Namun hasrat untuk memiliki sebuah rumah impian di Malaysia menjadi semakin sukar.
Harga rumah saban hari semakin tinggi yang memberikan kesan kepada pembeli khususnya bagi belia bumiputera yang mempunyai pendapatan yang secara relatifnya rendah.
Pemaju dilihat semakin hebat meneruskan projek perumahan, bahkan kebanyakan perumahan tersebut dalam kategori mahal sehingga banyak rumah ini tidak terjual.
Menurut laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia, pada akhir tahun 2019, sejumlah 30,664 rumah baharu tidak terjual selepas sembilan bulan.
Mengikut hukum pasaran, apabila barang tidak laku, harga barang tersebut akan turun tetapi dalam kes rumah, sebaliknya yang berlaku.
Bahkan yang berlaku di negara kita hari ini, kadar kenaikan harga rumah lagi tinggi daripada kadar kenaikan gaji.
Menurut Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sesebuah rumah dikira mampu milik jika harganya tiga kali ganda pendapatan tahunan isi rumah.
Jika pendapatan isi rumah anda (gaji suami + isteri) RM8,000 sebulan, pendapatan tahunan isi rumah anda RM96,000, maka harga rumah mampu milik bagi anda adalah RM288,000.
Kalau kita ambil kira definisi rumah mampu milik di atas dengan pendapatan di Malaysia, Bank Negara berkata, harga maksimum rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia sekitar RM282,000.
Masalahnya, berdasarkan laporan Institut Kajian Khazanah, 65 peratus rumah baharu yang tidak terjual selepas sembilan bulan di pasaran pada suku kedua 2019 berharga RM300,000 ke atas.
Jika dikaji dengan lebih mendalam, dasar bank dan kerajaan pada tahun 2009 menjadi punca utama harga rumah naik sehingga ke hari ini.
Menurut Pengarah Institut Kajian Khazanah, Dr. Suraya Ismail, tahun 2009 merupakan tahun yang bersejarah dalam industri perumahan negara kerana adanya akses mudah kepada pinjaman perumahan daripada bank.
“Sebelum tahun 2009, harga rumah di Malaysia masih lagi berpatutan, tetapi sejak 2009, kadar kenaikan harga rumah mula naik melebihi 8 peratus setahun.
“Apabila bayaran bulanan pinjaman perumahan direndahkan, tetapi tempoh pinjaman perumahan dipanjangkan, orang senang beli rumah,” katanya.
Kemudahan akses pinjaman perumahan ini telah menggalakkan ramai orang membeli rumah di luar kemampuan kewangan mereka sehinggakan banyak rumah mahal laris.
Melihat aliran rumah mahal yang laris ini, pemaju menyangka permintaan terhadap rumah mahal semakin meningkat sehinggakan mereka membina lebih banyak rumah mahal.
Selain itu, pelaksanaan polisi kerajaan pada tahun 2009 yang membenarkan warga asing membeli rumah berharga RM1 juta di Malaysia sehingga membuka ruang kepada ramai taikun dan orang kaya dari luar negara memiliki rumah di negara kita.
Dengan adanya kuasa beli warga asing ini, maka nilai pasaran rumah mustahil untuk turun kerana pemaju yakin boleh menjual perumahan tersebut kepada orang lain terutamanya warga asing.
Pada Oktober 2019, kerajaan menggalakkan warga asing membeli rumah di Malaysia dengan mencadangkan penurunan harga minimum rumah kepada warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 memburukkan lagi keadaan.
Walaupun cadangan kerajaan itu salah satu cara untuk menyelesaikan masalah lambakan rumah yang tidak terjual, namun dalam masa yang sama menyebabkan pemaju berlumba-lumba membina rumah mahal.
Kesilapan kerajaan pada tahun 2009 berulang kembali dengan pelaksanaan polisi seperti itu.
Tugas sebenar kerajaan menjaga kebajikan rakyat dengan memberi kemudahan kepada mereka memiliki rumah mampu milik bukan membantu warga asing membeli rumah di Malaysia.
Oleh itu, satu kajian perlu dilakukan secara lebih inklusif oleh pihak kerajaan dalam menyelesaikan masalah sukar untuk memastikan rakyat mampu memiliki rumah sendiri.
Jika perkara ini tidak diselesaikan dengan kadar segera, tidak mustahil lebih sukar untuk rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri.