ARTIKEL

Malam penentu Harimau Malaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RATUSAN penyokong Harimau Malaya ditahan lebih sejam sebaik tamat aksi Malaysia menentang Indonesia dalam perlawanan Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) Isnin lalu.

Ia bukan kerana kekecohan, tetapi bagi memastikan keselamatan penyokong Malaysia terjamin.

Langkah tersebut turut memberi ruang kepada puluhan ribu penyokong pasukan Garuda untuk keluar dari stadium.

Puluhan anggota keselamatan ditempatkan di sekeliling pagar bagi mengawal pergerakan penyokong Malaysia.

Mereka tidak dibenarkan menghampiri kawasan penyokong Indonesia bagi mengelak perkara tidak diingini. Penyokong Malaysia dibenarkan bergerak keluar secara berperingkat-peringkat ketika keadaan terkawal.

Tiada kekecohan atau provokasi daripada 56,894 penyokong Indonesia dalam perlawanan yang berkesudahan seri 0-0 itu. Situasinya mungkin berbeza jika tuan rumah kalah.

Lagi pula Indonesia bermain dengan 10 orang selepas Thom Haye dilayangkan kad merah seawal minit ke-35, namun Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.

Bagi penyokong skuad Garuda, ia satu ‘kemenangan kecil’… begitu juga Harimau Malaya, sekurang-kurangnya tidak kalah.

Keadaan mungkin ‘lebih panas’ jika ia adalah perlawanan akhir, atau separuh akhir. Realitinya, pertemuan Indonesia-Malaysia di Jakarta sentiasa menggamit tumpuan, apatah lagi membabitkan pasukan utama (senior).

Lagipun, ia merupakan perlawanan pertama, sejak 2021 (Piala AFF Suzuki) yang menyaksikan Malaysia tewas 4-1, dalam saingan peringkat kumpulan di Singapura.

Kali terakhir, kedua-duanya berentap di Jakarta, ialah pada 2019, kempen Kelayakan Piala Dunia 2022. Ketika itu Malaysia menang 3-2. Malaysia turut menang, 2-0 di gelanggang sendiri.

Tahun 2010 cukup manis bagi Harimau Malaya, apabila mengalahkan Garuda dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki. Malaysia menang 3-0 di arena sendiri, dan tewas 2-1 di Jakarta.

Yang pasti, aksi Isnin lalu cukup sengit, lasak, dan mendebarkan, apatah lagi ia adalah pertemuan pertama dalam tempoh lima tahun.

Lebih menarik, kedua-dua pasukan diperkuatkan pemain warisan dan naturalisasi, lebih-lebih lagi Indonesia… daripada penjaga gol sehinggalah penyerang, semuanya pemain warisan, yang sebahagian besarnya dari Belanda, negara yang pernah menjajah mereka selama setengah abad.

Lebih separuh daripada kesebelasan utama Indonesia dibarisi pemain yang beraksi dalam La Liga Sepanyol, Bundesliga Jerman, Ligue 1 (Perancis), Serie A (Itali), Liga Belanda, dan Championship (England).

Oleh itu, penonton seolah-olah menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL). Malah mereka juga mempunyai fizikal mantap, yang kebanyakannya berketinggian 6 kaki.

Namun pemain paling tinggi ialah pertahanan, Elkan Baggott, 6 kaki 5 inci, seakan-akan dua kali ganda Faisal Halim.

Harimau Malaya pula dibarisi tiga pemain baharu, Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp, yang memberikan kekuatan tambahan. Kelincahan bintang paling bernilai, Arif Aiman memperkukuhkan kemantapan Malaysia.

Malaysia sepatutnya boleh memenangi perlawanan Isnin lalu, jika beberapa peluang pada babak pertama dan kedua dimanfaatkan.

Indonesia turut berpeluang, namun sebaik beraksi dengan 10 pemain, mereka banyak bertahan, sekali gus menyukarkan serangan Malaysia. Hakikatnya, ia merupakan perlawanan sengit dan lasak.

Permusuhan Malaysia-Indonesia di lapangan hijau bukanlah cerita baharu, tetapi telah pun bertapak sejak lebih 50 tahun yang lalu.

Bermula daripada ketegangan politik kedua-dua negara pada 1960. Slogan politik “Ganyang Malaysia” yang dilaungkan oleh Presiden Sukarno ketika itu (1960-an) terbawa-bawa ke dalam padang.

Sejak itu, perlawanan Malaysia-Indonesia dianggap sebagai pertemuan dua seteru Nusantara dari Asia Tenggara.

Dalam 85 pertemuan dengan Indonesia, Malaysia meraih 34 kemenangan, berbanding Indonesia 33 kali.

Kedua-duanya seri 18 kali. Kemenangan terbesar Malaysia ialah pada Pestabola Merdeka 1976, pestа gol 7-1.

Manakala Indonesia pernah membelasah Malaysia 6-0 pada Sukan SEA 1999 di Brunei.

Hakikat, dalam saingan Piala ASEAN FIFA ini, Malaysia-Indonesia hanya bertemu sekali, kerana hanya juara kumpulan akan berentap dalam final.

Manakala pasukan di tangga kedua kumpulan akan bersaing bagi perebutan tempat ketiga.

Malaysia yang sedang mendahului Kumpulan A masih berpeluang ke final, namun perlu mengalahkan Singapura dengan jaringan besar di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung malam ini.

Ia kerana Indonesia dijangka menang besar ke atas Bangladesh.

Singapura yang dibarisi tiga anak legenda Kota Singa, Fandi Ahmad, merupakan sebuah pasukan yang sukar dijinkan, sejak mereka layak ke Piala Asia 2027.

Realitinya, Indonesia mahupun Malaysia, kini menjadi pesaing utama dua gergasi, Thailand dan Vietnam.

Empat pasukan yang hampir selalu ini akan terus bersaing selepas ini, untuk membuktikan kehebatan masing-masing, terutamanya dalam konteks global, siapa yang terlebih dahulu layak ke Piala Dunia.

BERITA LAIN

Guru Juara Moonton berpotensi diperluas ke Sarawak

KUCHING: Program Guru Juara Moonton yang diperkenalkan di Selangor berpotensi diperluas ke negeri ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak. Ketua Penerbitan, Pembangunan

BERITA TERBARU

Wanita rentung dalam kebakaran

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi. Jurucakap