ARTIKEL

MALAS BEKERJA punca miskin?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KADANG-kadang kita salah anggap bahawa kemiskinan dan kekayaan seseorang itu bergantung pada sifat dalam diri seseorang itu. 

Ramai beranggapan, orang miskin itu terus miskin kerana malas dan tidak bijak, manakala yang kaya terus kaya sebab rajin dan pandai.

Tetapi pandangan begini mesti dilihat dengan lebih bijak. 

Saya tertarik dengan kisah Drew Goodall — jutawan lelaki berasal dari London yang pernah menjadi pelakon.

Drew dikatakan pernah berlakon bergandingan dengan nama besar seperti Brad Pitt dan Hugh Grant.

Malangnya, dia kemudian hidup merempat di tepi jalan kerana masalah kewangan.

Namun, semua itu hanya tinggal sejarah dan kini Drew kembali berjaya sebagai usahawan.

Selama kira-kira enam bulan pada 2001, Drew berkata kehidupannya agak sukar kerana terpaksa meminta derma, tidur di jalanan dan sering dikasari oleh gelandangan lain.

Tidak mahu terus hidup merempat, dia kemudian berusaha mendapatkan wang lebih dengan menawarkan servis mengilat kasut kepada orang ramai kemudian menawarkan perkhidmatan tersebut kepada orang kaya.

Menggunakan sebahagian daripada wang yang terkumpul daripada mengemis, dia membeli berus dan setin pengilat dan menuju ke daerah London untuk menggilap kasut.

 Selepas enam bulan membuat kerja di tepi jalan, nasibnya bertambak baik apabila ada pelanggan memberi peluang untuk dia membuka kedai kecil di lobi pejabatnya.

Pada 2012, dia menubuhkan Sunshine Shoeshine sebagai perniagaan membantu orang lain yang kurang bernasib baik seperti dirinya sebelum ini.

Dia mula membuka cawangan ke pejabat lain dan hanya mengambil pekerja dalam kalangan gelandangan dan orang kurang upaya.

Menurut Goodall, dia membantu kira-kira 40 orang untuk mengubah hidup mereka sejak 2012 serta membenarkan syarikat tempat pekerjanya bekerja memilih badan amal dengan keuntungan 5 peratus.

Ramai sebenarnya yang tidak tahu kisah Drew ini, ia bukanlah unik sebab ramai juga orang di dunia yang permulaan hidupnya miskin kemudian menjadi kaya. 

Ini kerana, pelbagai punca kemiskinan sama ada datang daripada kurang berpendidikan, peluang pekerjaan terhad, faktor ekonomi dan sebagainya. 

Tetapi kalau tidak diberi peluang susah sebenarnya hendak keluar dari kemiskinan itu. 

Drew bernasib baik, selain usaha dia turut ditawarkan tempat untuk membuka kedai gilap kasut untuk mengembangkan perniagaan.

Orang lain mungkin tidak ada peluang sedemikian. 

Kerana peluang yang terhad menyebabkan mereka mempunyai kekangan yang tinggi untuk mengubah nasib.

Satu kajian oleh Institut Kajian Khazanah (KRI) pada 2016 membuktikan pendidikan sangat penting untuk mobiliti sosial yang positif. 

Menurut kajian ini, sekiranya individu yang datang dalam kalangan ibu bapa yang tiada pendidikan, hanya 33 peratus peluang anak untuk mendapat ijazah berbanding ibu bapa yang berpendidikan, sebanyak 92 peratus anak-anak berpotensi mendapat ijazah.

Senang kata, kalau orang yang dari keluarga miskin, peluang untuk dapat pendidikan tinggi lebih susah walaupun sudah banyak bantuan yang diberikan.

Menurut laporan Jabatan Statistik Negara (2016), hanya 32 peratus daripada individu bekerja di Malaysia ini mempunyai pendidikan tinggi.

Yang paling terkesan dengan tekanan infl asi ialah mereka yang berpendapatan rendah, kerana gaji rendah dan isu lain seperti kos sara hidup, hutang, bil dan rumah lagi bermakna orang miskin tiada peluang menyimpan duit dan akhirnya diibaratkan seperti kais pagi makan pagi. 

Orang kaya pula boleh menyimpan, melabur duit dan sebagainya, jadi mereka berupaya mengambil lebih banyak agihan harta dan pendapatan yang ada.

Menurut laporan KRI, lapan daripada 10 anak orang yang termiskin berjaya peroleh pendapatan lebih daripada ibu bapa mereka, jika dibandingkan dengan satu daripada 10 anak daripada golongan orang kaya.

Ini menunjukkan yang golongan berpendapatan rendah tidak malas dan memang berusaha lebih untuk keluar daripada kemiskinan, tetapi ia tidak mudah. 

Tanpa sokongan sosial, besar kemungkinan orang miskin ini melakukan dua hingga tiga pekerjaan sehari sekali pun dia mungkin hanya dapat cukup-cukup makan.

Justeru, pembangunan sosial memerlukan kerjasama semua pihak, kerajaan, swasta dan ahli masyarakat sendiri. 

Pendidikan itu sendiri juga merupakan sumber intelektual, kemahiran dan budaya yang menyumbang kepada kemajuan negara.

BERITA LAIN

Tarikan lampu raya Bang Man

KUCHING: Beberapa tahun lalu, apabila Abdul Rahman Othman mula membeli lampu hiasan untuk menghiasi rumahnya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, beliau tidak pernah membayangkan lampu

Tarikan air terjun Belaga

LOKASI yang jauh di pedalaman menjadikan Belaga sebagai destinasi yang penuh dengan hidupan flora dan fauna terpelihara. Antara tarikan yang menjadi tumpuan di Belaga adalah

BERITA TERBARU

Kunjungan rumah terbuka tradisi masyarakat Sarawak

MARUDI: Kunjungan rumah terbuka merupakan tradisi masyarakat tanpa mengira kaum di Sarawak. Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil, berkata,