ARTIKEL

Malaysia Airlines mulakan tiga laluan baharu dari KL ke India

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan memperluaskan sayapnya di India dengan memulakan tiga perkhidmatan baharu antara Kuala Lumpur (KUL) ke Amritsar (ATQ), Thiruvananthapuram (TRV) serta Ahmedabad (AMD) masing-masing berkuat kuasa 8 Nov, 9 Nov dan 1 Dis 2023. 

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail berkata pengembangan itu akan menghubungkan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke India kepada sembilan hab utama, sekali gus menyediakan penumpang dengan pilihan dan fleksibiliti yang dipertingkatkan membabitkan perjalanan antara kedua-dua negara.   

Syarikat penerbangan itu kini mengendalikan penerbangan terus ke New Delhi, Bengaluru, Mumbai, Chennai, Hyderabad dan Kochi.

Laluan baharu itu akan menerima perkhidmatan pesawat Boeing 737-800NG berkapasiti 160 tempat duduk yang merangkumi 16 tempat duduk Kelas Perniagaan dan 144 tempat duduk Kelas Ekonomi. 

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Malaysia Airlines menawarkan tambang pengenalan dengan tiket pergi balik bermula daripada RM999 untuk Kelas Ekonomi dan RM2,999 bagi Kelas Perniagaan, yang boleh dibeli mulai semalam hingga 9 Sept 2023 membabitkan perjalanan 8 Nov 2023 hingga 31 Mac 2024. 

Selain itu, pelanggan yang menempah dalam tempoh tersebut akan menikmati sehingga 50 peratus Bonus Enrich Points.

“India kekal sebagai pasaran utama bagi Malaysia Airlines.

“Tiga laluan baharu ke dalam rangkaian India kami akan memberi kemudahan tambahan kepada pelancong, mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran teras ini, selain memperluaskan lagi perkhidmatan Hospitaliti Malaysia kami,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini dari 1 hingga 3 Sept 2023. 

Beliau berkata faktor muatan purata semasa syarikat penerbangan itu berada pada 81 peratus dari tahun ke tarikh setakat Julai 2023, menandakan pertumbuhan serta keyakinan untuk perjalanan antara kedua-dua pasaran. 

“Kami sedang mengkaji untuk memulihkan kapasiti pra-Covid-19 kami di pasaran India menjelang akhir tahun ini dan juga akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke destinasi lain dalam ketika kami mengusahakan kelancaran perjalanan di Malaysia serta seterusnya,” kata Izham. 

Dalam satu kenyataan, Malaysia Airlines berkata ia akan meningkatkan kekerapan untuk membina dominasi di pasaran utama lain seperti  Australia, China dan Asean. 

Bermula Disember 2023, syarikat penerbangan itu akan meningkatkan penerbangan mingguannya dari KUL ke Melbourne (MEL) serta Sydney (SYD), masing-masing daripada 14 penerbangan seminggu kepada 15 dan 16 penerbangan seminggu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial MAG Dersenish Aresandiran berkata syarikat penerbangan itu turut melancarkan penawaran produk baharunya, MHsports dan MHcruise, untuk meningkatkan lagi pengalaman pelancong secara keseluruhan. 

MHsports menyediakan kumpulan seramai lima atau lebih orang yang mahu melakukan perjalanan untuk tujuan sukan bagi menikmati faedah termasuk tambang khas, elaun bagasi 10kg tambahan, perubahan tarikh serta masa yang fleksibel dan kemudahan melanjutkan perjalanan mereka dengan tarikh perjalanan pulang yang boleh disesuaikan.

“MHcruise pula menawarkan tambang diskaun khas yang direka khas untuk penerbangan perdagangan  terpilih yang boleh diintegrasikan dengan pakej perjalanan mereka. 

“MHcruise memastikan kemudahan untuk semua dengan tambang diskaun, termasuk tambang khas bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, elaun bagasi 10kg tambahan, tambang istimewa kedua-dua tempat duduk Kelas Perniagaan serta Ekonomi, dan kebebasan untuk memilih perjalanan sehala atau perjalanan pulang ke pelbagai destinasi dalam rangkaian Malaysia Airlines,” katanya. 

Dersenish berkata pelanggan juga boleh menjangkakan tawaran yang dipertingkatkan daripada AMAL oleh Malaysia Airlines, cabang ziarah haji dan umrah Malaysia Airlines, yang mampu memastikan perjalanan menyeluruh yang lancar. 

“Ini termasuk Umrah Plus yang akan diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan lagi, menyediakan tiket pergi balik percuma ke destinasi domestik terpilih kepada pelanggan antarabangsa semasa perjalanan ibadah haji mereka,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Pertingkat usaha bantu PKS tembusi pasaran luar

SAMARKAND: Usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menembusi pasaran luar negara perlu dipertingkat bagi mengangkat kedudukan syarikat berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri

Capai aspirasi negeri maju

SERIAN: Program Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Hidrogen and Tech Safari 4.0, menjadi platform kepada komuniti setempat dalam berkongsi maklumat dengan agensi serta industri pemodenan

BERITA TERBARU