PUTRAJAYA: Malaysia diisytiharkan bebas penyakit kuda Afrika (AHS) oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada 15 September lalu.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataan berkata, status itu dikembalikan selepas digantung pada Ogos 2020, susulan terdapat kes di Terengganu.
“WOAH melalui suratnya kepada DVS telah menyatakan bahawa Malaysia telah memenuhi syarat yang ditentukan oleh badan itu melalui Resolusi No.15 bagi mendapatkan semula status bebas AHS yang telah digantung berikutan kejadian penyakit tersebut pada Ogos 2020,” menurut kenyataan itu.
Justeru, bagi memastikan status bebas ini dapat dikekalkan, DVS akan terus menjalankan ujian makmal bagi keperluan survelan AHS berdasarkan Article 12.1.5 Terrestrial Animal Health Code.
Dalam pada itu DVS komited memastikan haiwan dan ternakan di dalam negara bebas daripada sebarang ancaman penyakit.