ARTIKEL

Foto BERNAMA

Malaysia berisiko hilang keistimewaan jika rakyat berterusan langgar undang-undang Arab Saudi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAKKAH: Malaysia berisiko kehilangan keistimewaan sekiranya ada dalam kalangan rakyat Malaysia berterusan melanggar undang-undang dan peraturan Arab Saudi termasuk menyalahgunakan visa pelancong untuk menunaikan ibadah haji.

Ketua Rombangan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata sekiranya ditangkap kerana melakukan perbuatan itu (menyalahgunakan visa pelancongan), ia akan mencemarkan nama baik dan imej Malaysia yang selama ini dipandang tinggi oleh negara berkenaan.

“Kita nasihatkan mereka untuk tidak melanggar peraturan Arab Saudi serta peraturan Malaysia kerana apabila ditangkap ia akan menyebabkan nama dan imej negara kita terjejas.

”Kita perlu memahami bahawa Malaysia selalunya diberi keutamaan, diberi kemudahan dan keistimewaan oleh Arab Saudi dalam pelbagai situasi termasuk dari segi visa pelancongan, visa visa umrah dan visa haji,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini malam tadi.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Haji berkata demikian selepas menyambut ketibaan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia KT02 dari Madinah sebanyak 281 orang yang tiba dengan tujuh buah bas. Turut hadir Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff.

Syed Salleh berkata selain itu Malaysia diberi keistimewaan menggunakan visa pelancong untuk menunaikan umrah dan ia hanya diberikan kepada tiga negara Islam termasuk Indonesia dan Kazakhstan sedangkan visa itu adalah kemudahan kepada negara bukan Islam bagi tujuan pelancongan.

“Saya ingin menasihatkan bagi mereka yang mempunyai hasrat untuk menggunakan visa selain visa haji dan tinggal lama untuk laksanakan ibadah haji, jangan melakukan perkara ini. Pertama ia telah melanggar akta dan peraturan Lembaga Tabung Haji (TH) kerana mereka datang dengan syarikat yang tidak dilesenkan oleh TH.

“Kedua mereka juga melanggar peraturan Arab Saudi dan kerajaan Arab Saudi juga telah mengeluarkan pendirian dari segi hukum bahawa perbuatan menggunakan visa selain visa haji untuk melaksanakan haji merupakan satu perkara yang tidak dibenarkan oleh agama kita,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati rakyat Malaysia yang mempunyai visa selain visa haji supaya meninggalkan Tanah Suci selewat-lewatnya pada 29 Zulkaedah dan segera kembali ke tanah air untuk mengelakkan daripada ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang lebih berat.

Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini memandang serius tentang perkara berkenaan kerana terlalu banyak berlakunya penipuan selain kesesakan di khemah jemaah haji di Madinah dan Arafah sehingga merosakkan perkhidmatan kepada jemaah haji yang sah.

Berikutan itu pihak berkuasa Arab Saudi mula melakukan sekatan jalan raya dan memantau jalan tertentu untuk memastikan hanya mereka yang ada visa haji sah sahaja dibenarkan masuk kawasan haji terutama Makkah.

“Kita juga telah mendapat beberapa laporan bahawa kerajaan Arab Saudi telah mula melakukan tangkapan terhadap agensi atau pihak tertentu yang cuba tawarkan khidmat haji kepada mereka yang datang dengan visa pelancong ataupun visa umrah dan bercadang untuk tinggal lebih lama bagi menunaikan haji.

“Ini mesej jelas diberikan kerajaan Arab Saudi bukan hanya sekarang, tetapi sebelum ini ini juga dan mesej ini juga telah diberikan beberapa bulan sebelum ini kepada semua negara yang menghantar jemaah haji untuk menunjukkan perkara ini satu perkara berat,” katanya.

Sementara itu sebanyak 563 jemaah haji daripada kumpulan pertama KT01 dan kumpulan kedua (KT02) tiba secara berperingkat di Hotel Abraj Al Janadiriyah yang turut menjadi Ibu Pejabat TH di Makkah.

Kumpulan ini kemudiannya dibawa menunaikan umrah secara berperingkat sejak 9 malam tadi dengan dibantu oleh Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri