ARTIKEL

Malaysia beritahu The Hague, desak Israel henti cabul undang-undang antarabangsa dan hak Palestin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

THE HAGUE: Israel mesti terlebih dahulu berhenti daripada terus mencabuli undang-undang antarabangsa serta setiap elemen teras dalam hak rakyat Palestin untuk menubuhkan tanahair sendiri, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam kenyataan lisan Malaysia pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda pada Khamis (waktu tempatan), Mohamad berkata Israel mesti menghentikan semua “dasar dan amalan” berkaitan dan serta-merta berundur dari ilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Kedua, beliau berkata, Israel wajib berjanji dan memberikan jaminan untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

“Dan ketiga, Israel dipertanggungjawab menawarkan pemulihan penuh supaya keadaan kembali kepada asal. Ini bermakna ia mesti benar-benar melaksana dan melakukan pindaan perundangan, termasuk menghapuskan atau menarik balik semua langkah perundangan yang bertentangan dan peraturan yang diluluskan sebelum ini bagi kawasan OPT,” katanya.
Mohamad berkata, Israel perlu menawarkan pampasan bagi segala bentuk kemusnahan material dan moral yang berpunca daripada pencabulan hak rakyat Palestin, meskipun pada hakikatnya pampasan itu tidak dapat benar-benar memulihkan sepenuhnya keadaan.

Lebih 50 negara membentangkan hujah mereka berkaitan akibat perundangan berhubung  pendudukan Israel di Palestin pada sesi pendengaran awam itu yang bermula Isnin.

Mohamad memulakan pembentangannya dengan membicara secara ringkas bidang kuasa dan budi bicara Mahkamah bagi memenuhi permintaan Perhimpunan Agung PBB, disusuli pendirian Malaysia berkaitan kesahihan “dasar dan tindakan” Israel di OPT. 

Pada akhir pembentangan itu, beliau menggariskan kesan perundangan yang timbul ke atas Israel, negara lain dan PBB, disebabkan pencabulan Israel secara terang-terangan terhadap hak rakyat Palestin. 

Hujahan Malaysia menegaskan bahawa “dasar dan tindakan” Israel hanyalah untuk menguasai Wilayah Diduduki (OPT), kaedah untuk menguat kuasa pendudukannya.

Hujahan itu juga menyenaraikan empat elemen substantif utama hak untuk menubuhkan negara sendiri bagi rakyat Palestin – hak terhadap integriti wilayah, hak terhadap kesatuan wilayah dan perlindungan terhadap integritinya, hak terhadap kedaulatan kekal ke atas kekayaan dan sumber semulajadi, dan kebebasan untuk menikmati pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya.

Menteri Luar itu mengetuai delegasi Malaysia di ICJ berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmuqqadis Timur.

Pendapat Nasihat merupakan proses penting bagi memperoleh nasihat perundangan daripada ICJ, badan kehakiman PBB, selaras Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

– Bernama

BERITA LAIN

PBB China sokong Palestin anggotai PBB

BEIJING: China menyokong Palestin menjadi anggota baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan berkenaan dengan secepat mungkin. Ini dinyatakan

Festival Air Sedunia Maha Songkran bermula di Thailand

Bangkok, Thailand: Kerajaan Thailand semalam melancarkan Festival Air Sedunia Maha Songkran 2024 bagi mempamerkan pelbagai tradisi negara itu sempena Songkran atau permulaan Tahun Baharu Thailand yang disambut setiap

BERITA TERBARU

PBB China sokong Palestin anggotai PBB

BEIJING: China menyokong Palestin menjadi anggota baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan berkenaan dengan secepat mungkin. Ini dinyatakan