ARTIKEL

Tiong merakamkan gambar kenangan bersama-sama delegasi Rusia Majlis Makan Malam Gala Sales Mission to Russia 2026 di sini.

Malaysia catat peningkatan pelancong Rusia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ST PETERSBURG: Sarawak antara destinasi di Malaysia yang diketengahkan kepada pasaran Rusia susulan peningkatan ketibaan pelancong dari negara itu bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, berkata sebanyak 98,466 pelancong Rusia direkodkan mengunjungi Malaysia dalam tempoh berkenaan, meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dan 49 peratus lebih tinggi berbanding paras 2019.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan Rusia terus mempunyai potensi sebagai pasaran pelancongan Malaysia, sekali gus memberi ruang untuk memperluas promosi pelbagai destinasi dan pengalaman yang ditawarkan negara ini.

“Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dilanjutkan sehingga Disember 2027, saya menggalakkan rakan-rakan Rusia mempromosikan lebih banyak tentang Malaysia, daripada budaya makanan dan warisan hinggalah alam semula jadi, menyelam, kesihatan dan kesejahteraan serta beli-belah.

“Ini termasuk pelbagai pengalaman di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, termasuk Sabah dan Sarawak di Borneo,” katanya dalam hantaran di media sosial selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sales Mission to Russia 2026 di sini.

Beliau berkata usaha menarik lebih ramai pelancong Rusia perlu disokong dengan akses udara yang lebih baik, menjadikan peningkatan hubungan penerbangan di antara Malaysia dengan Rusia sebagai antara keutamaan.

Sehubungan itu, beliau dijadualkan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan Aeroflot dan Red Wings di Moscow hari ini bagi meneroka potensi penerbangan terus di antara Malaysia dengan Rusia.

Katanya, Malaysia bersedia bekerjasama dengan rakan dalam sektor penerbangan dan pelancongan bagi merealisasikan peluang berkenaan serta menggalakkan perjalanan dua hala.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan industri pelancongan Rusia, khususnya di St Petersburg, serta pemain industri Malaysia atas penyertaan dan sokongan berterusan dalam Sales Mission to Russia 2026.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU