ARTIKEL

Datuk Abdul Majid Ahmad Khan

Malaysia, China mungkin bincang pelbagai isu tingkatkan kerjasama ekonomi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China berkemungkinan membincangkan isu berkaitan inovasi, keterangkuman, tenaga hijau serta komoditi untuk meningkatkan pelaburan dan kerjasama ekonomi semasa lawatan Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia, kata pakar.

Li, yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri China dalam Mac tahun lepas, dijadualkan tiba di Malaysia lewat hari ini untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari beliau sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Lawatan Li atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Anthony Dass menjangkakan tumpuan kedua-dua negara pada inovasi dan keterangkuman, yang akan menyokong rangka kerja MADANI termasuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan.

“Melihat kepada rangka kerja MADANI, China boleh memainkan peranan penting kerana rangka kerja kami sejajar nilai serta prinsip yang dianjurkan pada 2013 di bawah Prinsip Perkongsian Komuniti China,” katanya kepada Bernama.

Manakala, fokus Malaysia meningkatkan daya saing, kedudukan fiskal, tahap hutang, penyampaian perkhidmatan dan tadbir urusnya, perbincangan antara kedua-dua pemimpin dijangka tertumpu di sekitar kawasan ini bagi manfaat kedua-dua negara, katanya lagi.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata Malaysia-China telah menjalin hubungan yang sihat dan dinamik sepanjang lima dekad yang lalu, dibuktikan oleh catatan prestasi perdagangan kukuh sejak beberapa tahun lepas.
Beliau berkata selain memantapkan lagi hubungan sedia ada serta mengenal pasti sektor baharu untuk kerjasama, Anwar dan Li dijangka memudahkan pertumbuhan komoditi Malaysia, seperti minyak sawit dan produk berkaitan durian termasuk meningkatkan kerjasama teknologi, yang telah melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Bidang tumpuan baharu lain mungkin termasuk sektor aeroangkasa, komunikasi dan tenaga hijau,’ katanya.

China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. Tahun lepas, jumlah perdagangan dengan China mencecah paras RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus kepada perdagangan global Malaysia.

Perbincangan mengenai tenaga boleh baharu

Menyuarakan pandangan sama seperti Abdul Majid, Anthony berkata memandangkan Malaysia serta China giat melabur dalam teknologi bersih seperti tenaga suria, angin dan hidro, perbincangan mengenai tenaga boleh baharu mungkin akan diadakan untuk memanfaatkan teknologi hijau selain tumpuan kepada teknologi. 

“Perbincangan sebegini akan membantu kami mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, menangani perubahan iklim dan membuka peluang baharu,” katanya.

Beliau juga menjangkakan isu perdagangan serta pelaburan berkaitan elektrik dan elektronik (E&E) akan dibentangkan, kerana perkembangan dalam segmen itu akan mempunyai limpahan ekonomi merentas industri seperti E&E termasuk kenderaan elektrik (EV), yang menjadi strategi utama dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Bidang perbincangan lain adalah mengenai pusat data, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan berkaitan digital, ketersambungan, nadir bumi, EV baharu serta bidang pertumbuhan masa depan,” katanya.

Malaysia, China akan memperdalamkan kerjasama ekonomi

Abdul Majid berkata selama ini Malaysia serta China telah menggunakan tiga platform utama iaitu Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) serta Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China bagi memajukan dan memperdalamkan kerjasama ekonomi.

“Dalam lawatan Li, kandungan platform ini dijangka akan diperkayakan lagi untuk mengeratkan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.

Mengambil BRI sebagai contoh, sektor baharu seperti latihan kemahiran dan bidang yang boleh memberi kesan langsung kepada taraf hidup rakyat, boleh dimasukkan dalam inisiatif itu.

Lain-lain termasuk penekanan yang lebih besar pada pertukaran individu di kalangan badan pemikir, media dan institusi kebudayaan, katanya.
Abdul Majid percaya lawatan Li akan mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara Malaysia dan China.

“Terdapat banyak muhibah di antara kedua-dua pihak termasuk komitmen untuk mengeratkan lagi hubungan.

“Memandangkan pencapaian luar biasa pada masa sebelum ini dan manfaat bersama daripada hubungan itu , kami optimis bahawa hubungan Malaysia-China akan terus ditingkatkan dan diperkukuhkan pada masa depan,” katanya.

Namun begitu, Anthony mengingatkan perubahan dalam dinamik global serta serantau, termasuk peralihan kuasa ekonomi global, penjajaran semula geopolitik dan kebimbangan keselamatan serantau boleh mempengaruhi hubungan Malaysia-China.

“Sebagai contoh, industri berorientasikan eksport seperti E&E dan solar berpotensi menghadapi impak daripada ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan China.

“Di sini, kami perlu memberi tumpuan kepada kepelbagaian pasaran global untuk mengelakkan risiko penumpuan,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai isu seperti tuntutan wilayah di Laut China Selatan menjelaskan Malaysia, seperti negara Asia Tenggara yang lain, harus terus mengimbangi kepentingan ekonominya dengan China sambil menjaga kedaulatan dan kestabilannya.
– Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Projek naik taraf lima jalan di Meradong siap

BINTANGOR: Penduduk lima penempatan di Meradong kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila pelaksanaan lima Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan kerja baik pulih jalan raya