Resepi DEBM menyakiti hati dari menantu yang tersakiti

Malaysia di hati pekerja asing

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Gambar hiasan
Gambar hiasan

SEJAK minggu lalu, industri pekerjaan negara kecoh apabila Kerajaan Indonesia membekukan kemasukan tenaga kerjanya serta-merta.

Bagaimana isu ini timbul?

Ia bermula apabila Duta Besar Indonesia Hermono mendakwa Malaysia enggan mematuhi memorandum persefahaman (MoU) pembantu rumah negara itu, yang ditandatangani tiga bulan lalu.

Indonesia juga menyelar Jabatan Imigresen Malaysia kerana terus menggunakan penggunaan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah Indonesia yang didakwanya tidak munasabah.

Susulan itu, Duta Besar Indonesia Hermono menyifatkan Kerajaan Malaysia sebagai “tidak menghormati” Presiden Indonesia Joko Widodo.

Tindakan ini menjurus kepada Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja Indonesia memasuki Malaysia sejak 12 Julai lalu.

Tetapi tahukah anda, akibat pembekuan sementara semua pekerja Indonesia, ia bukan sahaja menjejaskan sektor perkhidmatan malah pembuatan, perladangan dan pembinaan!

Langkah drastik Kerajaan Indonesia membeku sementara semua pekerjanya memberi impak besar kepada sumber tenaga kerja negara secara keseluruhannya.

Menurut CGS-CIMB dalam satu nota penyelidikan, industri pembuatan berdepan dengan kekurangan 1.2 juta pekerja, diikuti industri pembinaan dan perladangan yang masing-masing kekurangan 550,000 dan 120,000 pekerja.

Melihat kepada angka itu, sangat jelas bahawa Malaysia sangat bergantung dengan sumber tenaga kerja asing untuk membantu menggerakkan ekonomi negara selain melancarkan kehidupan harian rakyat.

Fakta ini disokong dengan kenyataan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Beliau mendedahkan, Indonesia adalah negara sumber penting untuk bekalan pekerja asing, menyumbang 35 peratus pekerja asing dan 70 peratus pembantu rumah di Malaysia.

Nah, kita boleh ibaratkan pekerja asing ini merupakan satu aset tenaga yang sangat penting.

Meskipun demikian, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan Malaysia mempunyai 15 negara sumber untuk pekerja asing.

Negara tersebut adalah Indonesia, Nepal, Myanmar, India, Vietnam, Filipina (lelaki), Pakistan, Thailand, Kemboja, Sri Lanka, Laos, Turksmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan.

Dalam hal ini, Bangladesh merupakan negara sumber nombor satu.

Melihat kepada Dasar Semasa Penggajian Pekerja Asing pula, setakat ini, hanya enam sektor pekerjaan yang dibenarkan untuk mengambil pekerja asing iaitu enam sektor formal yang merangkumi sektor pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

Realitinya, Malaysia merupakan lubuk rezeki kepada warga asing.

Sebanyak 171,133 permohonan penggajian pekerja asing diterima oleh Kementerian Sumber Manusia setakat 2 Mac lalu sejak mula dibuka pada pertengahan Februari.

Namun pernahkan anda terfikir mengapa Malaysia sangat memerlukan pekerja asing khususnya dari Indonesia sedangkan kita boleh mengambil sumber tenaga daripada negara-negara lain untuk mengisi keperluan industri?

Sebenarnya, permohonan untuk menggaji pekerja asing hanya akan dipertimbangkan apabila usaha untuk mencari warganegara tempatan dan pemastautin tetap yang berkelayakan telah gagal.

Lantaran itu, Kerajaan Malaysia telah menetapkan hanya warganegara dari negara tertentu dibenarkan untuk bekerja dalam sektor-sektor terpilih.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan warganegara Indonesia, Nepal, Myanmar, Vietnam, Filipina (lelaki), Pakistan, Thailand, Kemboja, Sri Lanka, LaoS, Turksmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan hanya boleh bekerja dalam sektor perkilangan, peladangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.

Manakala pekerja asing dari India pula hanya dibenarkan bekerja dalam sektor perkhidmatan (tukang masak, pemborong/peruncit, kedai gunting rambut, logam/ sekerap/kitar semula, tekstil), sektor pembinaan (pemasangan kabel voltan tinggi sahaja) dan sektor pertanian perladangan.

Berdasarkan satu temu bual oleh seorang wartawan nasional dengan dua warga asing dari Bangladesh yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, Qatar pada April lalu, kedua-dua lelaki tersebut mengaku sangat rindu kembali bekerja di Malaysia.

Sebelum ini, mereka bekerja di Malaysia sebelum berhijrah ke Qatar.

Menurut kedua-duanya, kehidupan di Malaysia sangat baik kerana mereka dapat menjalani kehidupan seperti rakyat tempatan sambil bekerja.

Dalam perkongsian wartawan itu lagi, dia menggambarkan mereka bagaikan kekasih dilamun cinta pertama dan tidak sabar untuk kembali semula ke Malaysia sebaik kontrak kerja tamat.

Di sini, kita boleh gambarkan Malaysia sangat dekat di hati pekerja asing.

Mereka boleh mencari rezeki dalam keadaan aman.

Tetapi, jika pihak kerajaan dari negara asal membeku penghantaran pekerja mereka ke sesebuah negara seperti yang dilakukan oleh Indonesia sekarang, sebenarnya tindakan tersebut menyekat mata pencarian rakyat mereka sendiri.

Bagaimana rakyat khususnya daripada kumpulan kurang berkemampuan hendak menyara keluarga?

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, setiap orang jika diberi peluang untuk mendapat gaji yang lumayan dan jaminan keselesaan untuk meneruskan kelangsungan hidup, peluang sedemikian pasti tidak akan dilepaskan.

Menarik lagi, jika nilai mata sesuatu negara itu lebih tinggi berbanding nilai mata wang negara asal, ia satu kelebihan.

Jadi berbalik kepada isu pembekuan pekerja asing Indonesia, Menteri Dalam Negeri kita memberitahu kerajaan dalam proses mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Indonesia berhubung isu pembekuan penghantaran pekerja dari negara terbabit. Keputusan mengenai perkara itu dijangka diperoleh dalam dua hari lagi.

Semoga isu pembekuan pekerja asing dari negara jiran ini dapat diselesaikan demi kebaikan semua pihak.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Elak pembaziran

MASYARAKAT Islam bakal menyambut bulan Ramadan AlMubarak dalam masa terdekat,

E-Paper

24 Mac 2023

Berita Terbaru

Bali rai Hari Nyepi

BALI: Pulau peranginan terkenal Indonesia, Bali kelihatan sunyi kerana penduduk