ARTIKEL

Khor Hoe Ee

Malaysia dijangka capai status berpendapatan tinggi menjelang 2030 – AMRO

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DI sidang akhbar bagi pelancaran laporan ‘ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO) 2024’ pada 8 April lepas di Singapura, Ketua Pakar Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Khor Hoe Ee, memberitahu bahawa Malaysia tidak ada sebab untuk tidak mencapai status berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Menurutnya, lonjakan aliran masuk pelaburan asing ke dalam Malaysia dijangka akan merangsang pertumbuhan ekonomi pada tahun-tahun mendatang.

“Malaysia mencatatkan lonjakan dalam pelaburan langsung asing (FDI) pada 2021 dan 2022 yang akan membantu dalam pertumbuhan ekonomi apabila direalisasikan nanti,” katanya.

“Kita optimis selagi Malaysia mengekalkan disiplin fiskal dan kewangan, aliran masuk pelaburan dari seberang laut dijangka dapat membantunya menaikkan kadar pertumbuhan dan mencapai tahap pendapatan tinggi yang menjadi aspirasi mereka.

“Malaysia ada sasaran untuk melepaskan diri daripada perangkap pendapatan sederhana dan menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang akhir dekad ini, dan tiada sebab kenapa ia tidak dapat berbuat demikian.”

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia mencatatkan FDI tertinggi sebanyak RM208.6 bilion pada 2021, diikuti dengan RM163.3 bilion pada 2022, dan RM125.7 bilion pada 2023.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Utama dan Ketua Kumpulan AMRO, Allen Ng, memerhatikan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia yang nominal sekarang berada di antara “AS$11,000 hingga AS$12,000” (RM52,470 hingga RM57,240).

Penanda aras bagi ekonomi berpendapatan tinggi yang ditetapkan oleh Bank Dunia adalah AS$13,000 (RM62,010).

“Jadi, ia sangat munasabah bagi kita untuk menjangkakan Malaysia dapat melakukan lompatan itu dalam dekad ini,” katanya.

Pada 2023, KDNK per kapita Malaysia adalah AS$11,141 (RM53,143) manakala ambang pendapatan tinggi Bank Dunia ditetapkan pada AS$13,845 (RM66,041).

“Namun demikian, saya berpendapat perkara lebih penting yang kami ingin soroti dalam laporan kami ialah Malaysia, seperti kebanyakan negara serantau lain, masih berdepan dengan cabaran struktur yang sangat signifikan,” ujar Ng lagi.

“Melintasi garisan itu untuk menjadi negara berpendapatan tinggi tidak menandakan bahawa kita adalah ekonomi maju.

“Kita perlu melakukan lebih banyak usaha untuk mengurus beberapa cabaran struktur berkenaan.”

Seperti negara lain di rantau Asia Tenggara, Ng berkata Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran jangka panjang yang sama kepada prospek ekonomi, termasuk demografi yang semakin menua, peningkatan produktiviti serta kemahiran tenaga kerja, yang perlu diurus dengan baik.

Menurut laporan AREO 2024, Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan yang lebih tinggi pada usia purata tenaga kerjanya dalam kalangan rakan-rakan ASEAN+3 – ASEAN campur China, Jepun dan Korea Selatan – dengan purata usia kerja dijangka meningkat sebanyak empat tahun kepada 40 tahun menjelang 2050 daripada 36 tahun pada 2021.

Ini dijangka akan memberi impak negatif kepada produktiviti.

Digabung dengan kadar kesuburan 1.8, laporan itu menyebut bahawa Malaysia kemungkinan besar akan bergantung kepada pekerja asing sebagai pemacu perubahan populasi pada masa depan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU