Trending

MALAYSIA ERA BAHARU, PROGRESIF, MAJU DAN MAKMUR

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SAMBUTAN HARI MALAYSIA pada 16 September setiap tahun perlu dijadikan asas untuk memperingati, menghayati dan memahami sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching. Tambahan cogan kata dalam Bahasa Iban iaitu “Segulai Sejalai”, bermaksud “berjalan seringan”, turut digunakan pada sambutan itu nanti.

Menurut pengkaji sejarah, Samsol Morshidi Bujang, Hari Malaysia ialah hari Persekutuan Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah negara baharu tanggal 16 September 1963.

Semenjak penubuhan 60 tahun dahulu, beliau berkata Malaysia mengalami transformasi progresif bermula dari negara bercirikan agrania hinggalah kepada industri berat pada pertengahan 1980-an. 

Kini, ujarnya Malaysia memasuki satu lagi era baharu iaitu era digital yang mengutamakan penggunaan tenaga kerja yang diambil alih oleh kecerdasan buatan (AI).


“Ia
memanipulasi seluruh sistem kerja professional di Malaysia.

Bak kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketek ajak,” katanya kepada Suara Sarawak. 

Menurut beliau, Sarawak merupakan sebuah daripada negeri di Malaysia, seperti yang tercatat dalam lipatan sejarah kedudukannya sama dengan negeri lain. 

Namun, Sarawak mempunyai keistimewaan dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya apabila bercerita tentang hak Sarawak dalam menerima hasil cukai daripada hasiI petroleum dan gas asli yang dicari gali dari dalam pesisir Sarawak. 

Tambah beliau, Sarawak bermula daripada negeri dijajah oleh kuasa asing kepada sebuah negeri dalam Persekutuan yang merdeka dan berdaulat, Sarawak mandiri dan berusaha membangun dengan pesat. 

WAWASAN

Dalam pada itu, beliau berkata, kepekaan pemimpinnya yang mempunyai wawasan untuk mengubah Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi terbukti apabila diakui oleh bank dunia pada Julai lalu dengan pendapatan negeri kasar (GNI) melebihi RM62,000 sebulan. 

“Kedudukan ini memberi motivasi kepada Sarawak terus berusaha mengupayakan rakyatnya menuju negeri maju 2030 nanti. 

“Jika pada 1990-an dahulu sumber primer dieksploitasi sepenuhnya tanpa melibatkan industri hiliran. 

“Kini, Sarawak ingin meneroka sumber baharu yang dieksploitasi sebagai sumber boleh diperbaharui,” ujarnya. 

Tiada siapa menyangka katanya, air yang dahulunya hanya digunakan untuk keperluan domestik, kini menjadi sumber berharga bagi mendapatkan kandungan hidrogen. 

Bagaimanapun, Samsol memberitahu perjalanan Malaysia sebagai kuasa ekonomi dunia masih lagi jauh, perkembangan pesat arus perdana kini merupakan halangan yang boleh dijadikan peluang baik untuk Malaysia. 

Ini kerana, kadar inflasi yang tinggi dengan peningkatan harga bahan asas, menjadi peluang kepada negara dalam bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa khususnya pelaburan eksport yang mencecah jutaan ringgit akibat keperluan negara maju sejak pascacovid.

DESTINASI

“Seharusnya usaha yang ada perlu dilipat ganda khususnya bagi meningkatkan jumlah eksport dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi terbaik dalam pelaburan. 

“Kos tenaga kerja di Malaysia masih kompetitf dan sesuai bagi pelabur luar untuk melabur di dalam negara,” jelas beliau.  

Di samping itu, beliau memberitahu sejarah mengajar kita tidak mengulangi kesilapan generasi terdahulu. 

Justeru, mempelajari sejarah tanah air merupakan perkara asas yang perlu diajari dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah. 

Sejarah juga katanya, menjadikan rakyat bersikap patriotik dan mencintai negara. Negara yang progresif dan dinamik dicorak oleh kepekaan generasi kini untuk mempelajari sejarah tanah air. 

Malah, beliau menyifatkan perpaduan diukur dengan sejarah bangsanya yang harmoni, tetapi dapat duduk bercampur gaul bagi mencapai objektif menjadi negara maju. 

Selain itu, keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sarawak membuktikan institusi Raja Berpelembagaan amat rapat dengan rakyat. 

Jelasnya, kehadiran baginda berdua membawa seribu kenangan akan pertalian erat antara Raja dengan rakyat. 

Sesuailah dengan fungsi YDPA sebagai payung negara yang melindungi rakyat jelata.

“Harapan kita dalam meraikan Hari Malaysia 2023 ini melihat Malaysia yang progresif, maju dan makmur dengan meningkatkan pengetahuan, berusaha untuk mengetahui sejarah tanah air serta cakna dengan perjuangan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan. 

“Selamat Hari Malaysia, Seiring dan Sejalan untuk Malaysia terus maju,” ucapnya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru