ARTIKEL

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Malaysia jadi negara pertama peroleh tasreh operasi 20 ambulans

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAKKAH, Arab Saudi: Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Pusat Rawatan Madinah dan Makkah sekali lagi melakarkan kejayaan apabila berjaya memperoleh permit operasi atau tasreh bagi 20 ambulans yang dimilikinya.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara pertama berjaya mendapat permit itu untuk menjalankan operasi ambulans bsgi jemaah haji di Jeddah, Makkah dan Madinah pada musim haji kali ini.

“Tiga daripada ambulans ini ditempatkan di Pusat Rawatan di Madinah manakala bakinya ditempatkan di Pusat Rawatan TH Makkah dan beberapa buah kenderaan lagi ditempatkan khusus di beberapa tempat penginapan jemaah haji,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini semalam.

Beliau berkata paling membanggakan, kesemua permit ambulans milik TH ini dikategorikan dari jenis ‘advanced life support’ yang mempunyai kemudahan dan kelengkapan sehingga boleh memberi bantuan ‘life support’.

Menjelaskan lagi permohonan mendapatkan tasreh itu, Syed Saleh berkata usaha itu mengambil masa kerana perlu melalui beberapa prosedur, antaranya permerhatian dan pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi, termasuk Bulan Sabit Merah dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

“Pemeriksaan yang dilakukan amat ketat kerana ia bukan hanya melihat kepada kenderaan itu sendiri tetapi kemudahan dan setiap peralatan yang disediakan dalam ambulans.

“Jadi ada satu senarai panjang untuk dilihat satu persatu bagi kesemua kemudahan dan alatan dalam 20 ambulans ini.

“Alhamdulillah, kejayaan memperoleh tasreh ini menunjukkan tahap ketersediaan TH dan tahap profesional Kementerian Kesihatan Malaysia, yang menghantar rombongan perubatan berkemahiran sehingga diiktiraf pada tahap tinggi,” katanya.

Syed Salleh berkata kesemua 20 ambulans itu dikendalikan sepenuhnya oleh TH di bawah rombongan perubatan, dan pemandu ambulans turut diberikan permit dengan satu unit pemandu beroperasi di Makkah, manakala satu lagi di Madinah.

Sementara itu Syed Saleh memaklumkan setakat 23 Mei 2024 jam 5 petang, seramai 29 orang jemaah haji Malaysia dirawat di Hospital Arab Saudi dan Pusat Rawatan TH di Makkah dan Madinah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai tujuh orang berada di Hospital Arab Saudi manakala 21 orang berada di Pusat Rawatan TH di Makkah dan seorang di Madinah.

“Kebanyakan mereka dimasukkan ke Pusat Rawatan TH disebabkan pelbagai penyakit, terutamanya jangkitan kuman paru-paru (pneumonia) dan lain-lain penyakit seperti komplikasi darah tinggi, kencing manis dan penyakit berkaitan haba, namun kesemua jemaah pesakit ini dalam keadaan stabil,” katanya.

Berikutan itu, beliau sekali lagi mengingatkan jemaah haji untuk sentiasa menjaga kesihatan, terutamanya dengan keadaan cuaca panas terik di Makkah dan Madinah dengan suhu sekitar 35 hingga 45 darjah Celsius.

Cuaca ekstrem, katanya, boleh mengakibatkan penyakit kulit seperti ruam serta kulit kering, yang boleh menyebabkan luka, dan sehubungan itu jemaah dinasihatkan agar sentiasa memakai pelembap bersesuaian.

“Kepada jemaah semua, saya mohon untuk sentiasa mengambil maklum tentang pengumuman terkini yang dimuat naik dalam aplikasi THhujjaj.

“Makluman terkini berkenaan amaran cuaca semasa sentiasa dikemas kini untuk kita bersiap siaga,” katanya. – BERNAMA (Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail)

BERITA LAIN

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan

BERITA TERBARU