ARTIKEL

Malaysia, Kazakhstan sepakat perkukuh hubungan, teroka kerjasama baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ASTANA: Malaysia dan Kazakhstan sepakat untuk terus memperkukuhkan hubungan yang terjalin sejak 16 Mac 1992, serta meneroka peluang kerjasama baharu.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesepakatan itu, dibuat semasa pertemuannya dengan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Ak Orda) di sini semalam, yang disusuli mesyuarat dua hala delegasi masing-masing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata mesyuarat membincangkan dengan lebih meluas kerjasama kedua-dua negara, yang merangkumi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, dan industri halal.
“Saya dan delegasi Malaysia menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, di Istana Presiden.


“Usai sambutan rasmi, saya dan Presiden Tokayev mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara penting terkait hubungan Malaysia dan Kazakhstan, serta turut menyentuh isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya menerusi akaun X. 


Perdana Menteri berkata beliau dan delegasi Malaysia juga turut diraikan dalam majlis makan malam, selain dibawa melawat kawasan sekitar istana oleh Tokayev.


Turut sama dalam delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, serta pegawai-pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.


Anwar tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi dua hari ke Kazakhstan dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama antara kedua-dua negara. 


Kali terakhir Perdana Menteri Malaysia melawat Kazakhstan iaitu negara Asia Tengah paling besar itu ialah pada 2014.


Terdahulu, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nursultan Nazarbayev semalam, Anwar dan delegasi melawat Masjid Besar Astana iaitu masjid terbesar di Asia Tengah dan antara yang terbesar di dunia, serta menjadi pusat kegiatan keagamaan yang penting di bandar raya ini.


Kazakhstan, negara kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.


Hari ini, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kazakhstan, di sini.


Anwar juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan agensi kerajaan dan perniagaan, berkaitan daripada kedua-dua pihak.


Nilai dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 ialah RM474.5 juta (US$104.2 juta), dengan RM465.6 juta (US$102.2 juta) merupakan eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan dan RM8.9 juta (US$1.9 juta) ialah nilai import dari Kazakhstan.


Selepas Kazakhstan, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan rasmi ke Uzbekistan.
Anwar sebelum ini telah mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz.


– Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Presiden Rusia tawa perdamaian bersyarat kepada Ukraine

MOSCOW, Rusia: Presiden Rusia, Vladimir Putin, semalam mencadangkan perdamaian kepada Ukraine dengan menggariskan syarat-syarat Rusia untuk menamatkan serangan dan memulakan rundingan damai, lapor Agensi Anadolu