ARTIKEL

Malaysia komited bekerjasama secara konstruktif dengan EU

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia terus bekerjasama secara konstruktif dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk memastikan pelaksanaan segera dan berkesan keputusan panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi kes DS600 berhubung diskriminasi kawal selia terhadap biobahan api sawit.

Duta dan Wakil Tetap Malaysia di WTO Syahril Syazli Ghazali berkata, penemuan panel itu berkenaan DS600 mengesahkan beberapa elemen penting kedudukan Malaysia dalam pertikaian itu.

Keputusan itu memelihara integriti sistem perdagangan pelbagai hala dan memastikan keadilan dalam perdagangan global, katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Sabtu.

“Keutamaan Malaysia bukan hanya pihak yang ‘menang atau kalah’ dalam pertikaian itu, tetapi paling penting, adalah untuk semua anggota WTO ‘melakukan perkara yang betul’ dengan mematuhi peraturan dan disiplin WTO.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan global, angota WTO perlu terlibat dalam persaingan yang adil dan bekerja rapat untuk memelihara dan menggalakkan persekitaran perdagangan yang stabil dan boleh jangka,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia memfailkan aduan berkaitan EU dengan Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB), dengan menyatakan Arahan Tenaga Boleh Baharu EU II (RED II) sebagai tidak konsisten dengan Perjanjian WTO, yang menjejaskan eksport minyak sawi ke rantau itu, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

Malaysia memohon penubuhan sebuah panel WTO pada April 2021, dan pada Mei 2021, panel itu dibentuk untuk menyelia kes tersebut, dikenali sebagai DS600: Kesatuan Eropah dan Negara Anggota Tertentu, Langkah Tertentu Mengenai Minyak Sawit dan Biobahan Api Berasaskan Tanaman Kelapa Sawit.

Syahril Syazli berkata semasa mesyuarat bulanan DSB yang diadakan pada 24 Mei di Geneva, Switzerland, wakil EU menyatakan hasratnya untuk melaksanakan kepitusan dan syor Panel DS600.

Bagaimanapun, EU menegaskan bahawa berdasarkan tugas pelaksanaan itu, blok perdagangan tersebut tidak dapat mematuhi serta-merta dan memerlukan tempoh masa yang munasabah untuk berbuat demikian.

Oleh itu, EU menunjukkan niatnya untuk membincangkan dan bekerjasama dengan Malaysia berkenaan tempoh masa itu untuk peluang secepat yang mungkin, katanya.

“Malaysia mengalu-alukan hasrat EU untuk melaksanakan keputusan dan syor panel itu, khususnya untuk EU melaksanakan langkahlangkahnya supaya mematuhi obligasi WTO yang berkaitan.

“Berkenaan permintaan EU untuk tempoh masa bagi melaksanakan keputusan dan syor itu, Malaysia terus bekerjasama secara konstruktif dengan EU untuk memastikan pelaksanaan segera dan efektif bagi syor panel itu,” katanya.

Berikutan kesulitan kes itu, panel tersebut mengambil masa hampir tiga tahun sejak penubuhannya untuk menyediakan laporan, yang diedarkan kepada anggota WTO pada 5 Mac, 2024.

Penting untuk mengetahui penemuan panel itu yang mengesahkan beberapa elemen penting kedudukan Malaysia dalam pertikaian itu, terutama berhubung diskriminasi EU terhadap biobahan api berasaskan tanaman kelapa sawit Malaysia dengan memberikan layanan kurang mengalakkan berbanding biobahan api EU, mengikut Perjanjian Sekatan Teknikal kepada Perdagangan (TBT) dan Perjanjian Am Tarif dan Perdagangan (GATT) 1994.

EU juga dikehendaki mengemukakan langkah-langkahnya selaras dengan obligasi WTO yang relevan.

Laporan panel itu kemudiannya diterima oleh DSB semasa mesyuaratnya pada 26 April, 2024.- Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU