ARTIKEL

Malaysia langkah kanan, tuai dua pingat gangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PETALING JAYA: Malaysia memulakan kempen Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dengan langkah positif selepas menuai dua pingat gangsa pada hari pertama saingan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini semalam.

Kilauan gangsa itu disumbangkan masing-masing dua atlet yang membuat debut iaitu Ethan Damian Goh dalam acara individu lelaki dan Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi bagi kategori individu wanita.

Ethan hampir mencipta kejutan apabila menampilkan aksi konsisten dengan melakar 224, 225, 202, 226 dan 245 mata untuk merampas kedudukan pendahulu selepas lima permainan.

Bagaimanapun, atlet berusia 14 tahun itu gagal meneruskan rentak pada permainan terakhir apabila sekadar meraih 186 mata sekali gus terpaksa akur mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan keseluruhan 1,308 jatuhan pin.

Emas dimenangi Mark Leong dari Singapura B yang mengumpul keseluruhan 1,321 jatuhan pin sementara wakil Macau, Chan Chun Lok membawa pulang perak selepas meraih 1,311.

“Saya sangat gembira dan juga teruja, terima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu saya… saya memang berasa sedih sedikit (hilang kedudukan pertama) tetapi tak mengapa dapat tempat ketiga, sekurang-kurangnya tiga terbaik,” katanya yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Pada masa sama, Ethan yang akan beraksi dalam acara beregu esok dan berpasukan pada Khamis mengakui saingan dihadapinya sangat sengit dan perlu lebih bijak dalam membuat keputusan pertukaran bola dalam baki saingan selepas ini.

Dalam pada itu, wakil Singapura A Nura Salsabila Zulkifli mendominasi saingan wanita apabila menggondol pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 1,395 jatuhan pin.

Tempat kedua menjadi milik atlet Singapura B Ella Tan (1,322) dan ketiga Qurratu’ain Izdihar (1,274) yang mewakili Malaysia B.

“Pada mulanya saya tidak sangka mampu menang sebab saya berusaha keras pada tiga perlawanan pertama dan selepas perlawanan ketiga saya membuat keputusan untuk tukar bola dan ia beri saya impak yang baik seterusnya mengekalkan guna bola yang sama,” kata Qurratu’ain Izdihar yang berusia 16 tahun dan turut akan beraksi dalam acara beregu dan berpasukan.

Sementara itu jurulatih kebangsaan Azidi Ameran berkata: “Sebenarnya kita sasar emas tapi dalam boling susah nak dapatkan jaminan tetapi sekurang-kurangnya kami balik dengan dua gangsa dan pada saya itu pencapaian yang baik, lagi-lagi dua pemain itu adalah pemain baharu dan jarang dikeluarkan untuk bersaing, jadi saya sangat berbangga dengan mereka.”

Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dari 16 hingga 23 Jun ini disertai 14 pasukan antaranya Malaysia, Australia, Singapura, China, Indonesia, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Macau dan Pakistan.– BERNAMA

BERITA LAIN

England ke final Euro 2024

Skuad England mara ke final Euro 2024 setelah mengalahkan Belanda 2-1 pada aksi separuh akhir awal pagi tadi. Mereka akan menentang Sepanyol pada aksi final

BERITA TERBARU

Optimum infrastruktur kuasa hidro negara

KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berminat untuk bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad, Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) dan Perikatan Boleh Diperbaharui Global

Buaya tersangkut pada mata kail di Sebuyau

SEBUYAU: Disangka ikan besar, rupa-rupanya buaya tersangkut pada mata kail yang dipasang penduduk di sungai Kampung Nat di sini, hari ini. Komander Operasi PBKII KUP