Malaysia tidak ketinggalan dalam teknologi pengesanan virus COVID-19 – MOSTI

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan dan penemuan baharu negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura dalam teknologi pengesanan virus COVID-19, Malaysia turut tidak ketinggalan dalam usaha berkenaan menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dibangunkan, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata antara lain, usaha itu menerusi kerjasama MOSTI bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Pengajian Tinggi yang membantu serta membiayai beberapa teknologi yang sedang dibangunkan oleh universiti tempatan.

“Ia seperti pengesanan COVID-19 menggunakan DNA dan teknologi berasaskan pengesanan gentian fiber optik ke atas sampel air liur.

“Teknologi-teknologi yang sedang dibangunkan oleh universiti tempatan ini masih lagi dalam fasa pembangunan dan piawaian bagi memastikan teknologi ini selamat untuk digunakan dan memberikan bacaan yang tepat.

“Usaha ini sangat penting bagi memastikan kecekapan mengesan virus COVID-19 berada pada tahap yang lebih tinggi dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata terdapat juga beberapa usaha penyelidikan dan pembangunan dalam ekonomi kurang sentuh, teknologi tinggi (low touch, high tech) bagi memudahkan kehidupan seharian dalam mengharungi norma baharu.

Tahun lepas katanya, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sebuah agensi di bawah MOSTI turut melancarkan teknologi robotik untuk diguna pakai bagi menyelesaikan isu kebersihan dan pengangkutan barang di sebuah pasar awam negara ini.

“Selain itu, pernah tular sebelum ini tentang robot penghantaran yang dinamakan Robot Makcik Kiah 19 (MCK19) atau Key Innovations Assisting Healthcare (KIAH) yang telah dicipta bagi membantu melakukan kerja para petugas barisan hadapan.

“MOSTI sendiri telah melancarkan Malaysia Grand Challenge bagi mendepani cabaran-cabaran terkini negara dengan mengambil kira cabaran tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, kita juga ada MyHackhaton, National Technology Industrial Sandbox (NTIS) dan sebagainya,” katanya, sambil menambah kerajaan sentiasa mengalu-alukan dan menerima idea baharu bagi membantu mutu perkhidmatan awam.

— BERNAMA