ARTIKEL

Anwar (kiri) menandatangani kenyataan bersama Shavkat (kanan) di Istana Presiden Kuksaroy di Tashkent, Uzbekistan, semalam.

Malaysia, Uzbekistan ubah Jawatankuasa Bersama Dalam Perdagangan kepada Suruhanjaya Bersama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TASHKENT, Uzbekistan: Malaysia dan Uzbekistan telah bersetuju untuk mengaktifkan Jawatankuasa Bersama Perdagangan Antara Kerajaan dan mengubah jawatankuasa itu menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, berkata lawatan bersama wakil dalam kalangan perniagaan serta penyertaan dalam pameran yang diadakan di kedua-dua negara akan diteruskan.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk menganjurkan penglibatan perniagaan dua hala secara kerap dan berkesan bukan sahaja dalam sektor barangan dan perkhidmatan arus perdana tetapi turut melibatkan pelancongan, peluang penjagaan kesihatan dan bidang lain yang memberi manfaat bersama.

“Dua pemimpin berkenaan menekankan kepentingan mengutamakan pengembangan perdagangan dan kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan antara Uzbekistan dan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Anwar dan Mirziyoyev juga mengambil maklum tentang peningkatan ketara dalam jumlah perdagangan bersama dalam barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara sejak tujuh tahun lalu serta keperluan untuk mengenal pasti peluang yang belum diteroka dan menyatakan kesediaan untuk mengembangkannya lagi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kedua-dua pemimpin turut bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk mengadakan rundingan tetap antara agensi bertanggungjawab kedua-dua negara untuk membincangkan isu mewujudkan keadaan yang menggalakkan bagi jumlah perdagangan dua hala, mempelbagaikan komposisi pertukaran barangan dan meningkatkan jumlahnya,” kenyataan itu menambah.

Bagi merangsang perdagangan bersama, kedua-dua pemimpin juga menekankan keperluan untuk meneruskan kerja secara sistematik dalam pembangunan selanjutnya dalam ketersambungan pengangkutan udara dan mewujudkan laluan logistik baharu yang mudah untuk memastikan kedua-dua negara menjalankan perniagaan dengan lancar.

“Untuk memudahkan proses eksport dan import, kedua-dua pemimpin berkenaan mengambil maklum mengenai keperluan untuk mempercepatkan kerjasama antara badan kawal selia teknikal yang menyelia piawaian produk di kedua-dua negara dan bagi menyepadukan sistem maklumat dalam bidang fitosanitasi,” sebut kenyataan itu.

Pada 2023, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan adalah RM451.1 juta (AS$94.03 juta) dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (AS$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (AS$414,518).

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin berpuas hati bahawa terdapat beberapa penglibatan progresif antara Uzbekistan dan Malaysia dalam mewujudkan ekosistem industri halal kondusif yang akan membawa manfaat bersama.

“Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Uzbekistan juga menekankan peluang kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi dan membincangkan kemungkinan projek bersama dalam tenaga, termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui, kimia, elektronik dan kejuruteraan elektrik, farmaseutikal dan tekstil, industri perlombongan dan metalurgi, pemprosesan produk pertanian dan industri makanan, kejuruteraan dan pembinaan.

“Dari pihak Malaysia, ia mengesahkan sudah bersedia untuk menggalakkan wakil komuniti perniagaan melabur di wilayah Uzbekistan manakala pihak Uzbekistan pula menyatakan kesediaannya untuk memberikan bantuan diperlukan kepada pelabur Malaysia bagi memudahkan prosedur menjalankan perniagaan di negara berkenaan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memudahkan prosedur pelaburan untuk kemasukan dan keluar pelabur sekali gus mewujudkan persekitaran kondusif untuk pertukaran aktiviti berkaitan pelaburan yang sihat antara Malaysia dan Uzbekistan.

“Bagi menggalakkan kerjasama industri bersama, dua pemimpin itu menyokong cadangan mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia di Uzbekistan merangkumi laluan selamat untuk barangan serta mengkaji rangka kerja undang-undang kerjasama dalam melindungi ahli perniagaan kedua-dua negara,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Mirziyoyev.

Dalam pertemuan sejam itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

Pesawat khas, yang membawa Perdana Menteri dari Kazakhstan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent pada 2.15 petang waktu tempatan.

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah.

Sebelum ini beliau melawat Republik Kyrgyz dan Kazakhstan. – BERNAMA (Kamarul Ariffin Mohd Yassin)

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Faisal Halim ibarat pecahan yang hilang — Nidzam

KUALA LUMPUR: Suasana emosi menyelubungi bilik persalinan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim menjejakkan kaki buat