Mamat Khalid diharam tonton wayang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

JIKA hayatnya masih ada, Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid genap berusia 60 tahun pada 6 April lalu.

Malangnya, karyawan filem ini pergi meninggalkan kita pada 24 Oktober 2021 akibat serangan jantung.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 58 tahun pada jam 12.30 pagi di Hospital Slim River selepas rebah di restoran Sarang Art Hub miliknya di Tanjung Malim.

Biarpun tidak banyak menghasilkan karya, Mamat sebelum akhir hayatnya berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pengarah filem legenda di negara ini.

Mamat sebenarnya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri P. Ramlee, terutama dalam menghasilkan genre-genre komedi seram.

Tidak ramai yang tahu, bahawa adik kepada kartunis Datuk Lat yang lahir di Ipoh, Perak ini, bermula sebagai penerbit rancangan tv dan penulis skrip.

Juga ramai yang tidak tahu bahawa Mamat pernah pergi ke pawagam setiap hari untuk memenuhi minatnya terhadap filem biarpun sering dimarahi bapanya.

Malah bapanya pernah mengharamkan Mamat daripada menonton panggung wayang sehingga kematiannya pada tahun 1974.

Mamat sebenarnya, pernah menjadi penjawat awam, sebelum terlibat dalam penerbitan rancangan televisyen.

Antara karya Mamat termasuklah Pinang Durian, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Abang We.

Malah, lelaki lucu ini pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik Anugerah Skrin Panca Delima 2001 untuk telefilem Pinang Durian.

Beliau menterjemah skrip untuk siri animasi Kampung Boy karya abangnya, Datuk Lat, yang kemudian membuka pintu kepadanya untuk menyertai aktiviti perfileman yang lebih luas.

Bekas pemain keyboard kumpulan rock Drop Out ini memulakan kerjaya komersialnya apabila mencadangkan sebuah siri televisyen yang mengisahkan legenda Puteri Gunung Ledang.

Cadangan asalnya adalah untuk stesen televisyen NTV7 dalam bentuk bersiri selama 20 episod.

Cadangan ini kemudian menarik minat pemilik Enfiniti Productions, Puan Sri Tiara Jacquelina yang kemudian mencadangkan naskhah ini ditukar menjadi sebuah filem.

Untuk tujuan itu, Mamat dikandang oleh Tiara di sebuah bilik hotel untuk menyiapkan naskhah itu, sebelum ia akhirnya diangkat ke layar perak, di bawah sentuhan Saw Teong Hin.

Tiara Jacquelina dan Datuk M. Nasir menjadi teraju utama filem ini yang menelan biaya lebih RM16 juta.

Kejayaan karya ini memberi semangat kepada Mamat untuk berkarya lebih jauh.

Pada tahun 2003, beliau dilantik untuk mengarah filem buat kali pertama, melalui filem komedi Lang Buana terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Pada 2005, beliau menulis dan mengarah filem Rock.

Filem ini memberikan Mamat sebagai pemenang Lakon Layar Terbaik Festival Filem Malaysia.

Beliau kemudian terus bersemangat dan kali ini menghasilkan filem kritikan sosial Man Laksa (2006) dan Kala Malam Bulan Mengambang (2008) yang menggunakan konsep filem noir.

Namun filem yang menjadi ingatan dan memberi kesan kepada penulis tentulah filem Rock Oo! (2013) dan Rock Bro! (2016).

Sebabnya, filem ini menceritakan apa yang berlaku ketika era penulis membesar; dengan sebahagian daripada lagu yang digunakan adalah amat popular pada waktu itu.

Namun yang paling menarik ialah idea penghasilan filem tersebut, yang sarat dengan nasihat dan kritikan, namun disampaikan dengan cara yang lucu dan bersahaja.

Ia seolah-olah menceritakan perwatakan Mamat sendiri yang lucu dan selamba, namun idealis.

Mamat sebenarnya mula mencipta nama selepas mengarahkan filem Zombi Kampung Pisang, diikuti filem Estet pada tahun 2010.

Namun kejayaan besarnya adalah melalui Hantu Kak Limah Balik Rumah, yang berjaya mengutip RM7.9 juta daripada 39 pawagam.

Kejayaan itu mendorong beliau menerbit dan mengarahkan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, pada tahun 2013, yang berjaya memperoleh sebanyak RM5.89 juta.

Pada 2014, Mamat menerbit dan mengarahkan filem Apokalips X , diikuti Amir dan Loqman Pergi ke Laut.

Keprofilikan Mamat diteruskan pada tahun 2015 melalui Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.

Beliau kemudian menghasilkan Lebuhraya Ke Neraka pada 2017 yang mengambil masa enam tahun untuk disiapkan.

Pun begitu, pada masa yang sama, beliau muncul dengan super telefilem tular, 16 Puasa yang dibintangi oleh Bell Ngasri dan Datuk Aziz M. Osman.

Pada 2017, Mamat meneruskan penerbitan filem sekuel Hantu Kak Limah, yang kini hadir tanpa tiga pelakon asal, Zami Ismail, Azwan Annuar dan Man Kadir, yang telah meninggal dunia.

Filem ini meraih RM27.5 juta dalam masa 15 hari. Pada 2020, Mamat menghasilkan Rock 4: Rockers Never Dai dan Manap Karaoke yang terus mengekalkan elemen lucu dan menghiburkan.

Beliau kemudian diberi peluang mengarahkan drama Kampong Pisang Bersirisiri sebanyak 12 episod yang menampilkan Kazar Saisi, Bell Ngasri, Datuk Aziz M. Osman, Avaa Vanja dan Nazeera Sardi.

Setelah itu, beliau hadir dengan 18 Puasa Di Kampong Pisang yang ditayangkan di Astro First. Filem ini meraih kutipan sebanyak RM5 juta dan menjadi karya terakhir beliau.

Mamat merupakan pengarah prolifik yang tahu menggeletek audiensnya.

Malah filem-filemnya adalah jenis komedi satira yang kaya dengan mesej; baik yang tersirat dan tersurat.

Dan seperti filem-filem P. Ramlee, ia sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat tanpa jemu.

Kerana beliaulah, banyak pelakon yang asalnya berwatak serius, beliau tukarkan sebagai pelawak seperti Awie, Bell Ngasri, Aziz M Osman, Que Haidar, Khir Rahman, Kamarool Haji Yusuf dan Kazar Saisi.

Kini bakat beliau diwarisi anaknya, Mohd. Khalid Amen, namun perjalanan anak muda ini untuk mencontohi bapanya masih jauh dan berliku.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja