KUCHING: Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2023 membayangkan Sarawak menjadi kuasa ekonomi digital utama di rantau ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata pelan tindakan itu adalah asas untuk memacu Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030.
“Ia juga bertindak sebagai pemangkin bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti untuk semua sektor ekonomi, memupuk kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Usaha itu termasuk Landskap Digital Global, Kembara Ekonomi Digital Sarawak, Infrastruktur dan Ketersambungan Digital, Inovasi dan Keusahawanan, Kesediaan Digital, Keselamatan Siber yang membawa ke arah pelaksanaan pelan ini kelak.
“Pelan ini dilancarkan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Inovasi dan Teknologi Kongres Dunia 2023 Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2023, di Kuching pada 4 Oktober depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi Digital 2023 sempena Ekspo Negara Pintar 2023, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, katanya, dengan landskap Sarawak yang luas, dianggarkan 7,000 struktur telekomunikasi diperlukan bagi mencapai ketercapaian Internet sebanyak 99.9 peratus di seluruh negeri ini.
“Antara inisiatif kerajaan iaitu inisiatif Sarawak menghubungkan Bandar dan Luar Bandar (SALURAN) adalah untuk menyediakan ketersambungan kepada rakyat.
“Di bawah inisiatif ini, sebanyak 600 menara dibina di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART).
“Selain itu, kerajaan persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga memperuntukkan tambahan sebanyak 742 menara baharu untuk dibina di Sarawak melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya dengan adanya SMART600, JENDELA, Clawback dan inisiatif jalur lebar lain, liputan 4G sebanyak 61.6 peratus dijangka mencapai 93.87 peratus menjelang akhir tahun ini.