KUCHING: Datuk Seri Fatimah Abdullah tidak menolak kemungkinan GPS akan menikmati kemenangan pada PRN-12 akan datang berikutan kejayaan BN memenangi PRN Melaka, Sabtu lalu.
Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB itu berpendapat, keputusan PRN Melaka yang menyaksikan BN memenangi majoriti dua pertiga boleh menjadi bayangan untuk PRN Sarawak.
“Ia sememangnya penanda aras untuk PRN Sarawak akan datang. GPS akan menang hebat,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Menjelas lanjut katanya, PH, PN dan mana-mana parti yang berpangkalan di Semenanjung tidak akan dapat bertanding di sini. Katanya, seperti parti Umno, MIC, MCA, mereka juga tidak pernah melebarkan sayap mereka untuk bertanding di Sarawak.
“Pemahaman tidak bertulis itu dihormati sehingga kini. Tetapi, jika parti lain yang berpangkalan di Semenanjung seperti PKR, DAP masih mahu bertanding menentang GPS… GPS akan menentang,” katanya.
Fatimah berkata, GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menunaikan janji, manakala PH tidak mampu menunaikan janjinya.
Fatimah juga berkata, kedudukan kewangan Sarawak kukuh hasil Revenue Engineering yang dilaksanakan oleh Abang Johari. Beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah menerima lebih banyak hasil melalui Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas minyak dan gas daripada Petroliam Nasional Berhad mulai 2019 hingga 2021.
“Hasil itu digunakan untuk projek pembangunan rakyat termasuk membina jalan raya dan jambatan untuk perhubungan, membuka kawasan luar bandar dan menyediakan keperluan asas seperti air dan elektrik di kawasan pedalaman.
“Selain itu, inisiatif kebajikan yang dimulakan oleh ketua menteri seperti Dana Endowmen Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Geran Khas Tahunan (GTK), Bantuan Kenyalang Gold Card (KGC) dan sebagainya juga telah dilancarkan,” katanya sambil menambah bahawa ia akan diteruskan untuk kesejahteraan sosial rakyat jika GPS diberi mandat.
Bagi PRN-12, Fatimah yang juga penyandang kerusi Dun Dalat berkata, parti itu akan mematuhi SOP yang ditetapkan SPR dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. Beliau juga berharap ahli politik akan berkempen secara matang dan profesional.