PANJANG perjalanannya, menempuh liku-liku serta cabaran menggalas tanggungjawab sebagai anggota keselamatan negara.
Malah, beliau terlibat secara langsung dalam insiden pencerobohan berdarah di Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Selepas 37 tahun sejak mula berkhidmat pada 1986, tanggal 10 November 2023 menjadi lipatan sejarah hidup Datuk Mancha Ata apabila dilantik secara rasmi sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak.
Beliau dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis (CP) sekali gus menggalas tugas memimpin Polis Kontinjen Sarawak menggantikan Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang berpindah ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Pelantikan itu secara tidak langsung melakar sejarah tersendiri menjadikan Macha sebagai anak Iban pertama yang memegang jawatan tertinggi polis di peringkat negeri.