DARI jauh, tiga robot adiwira yang popular dalam filem Transformers sedang menggoyang-goyangkan badan.
Berbeza dengan aksi tangkas mempertahankan Bumi dalam filem itu di panggung dan televisyen, robot ini — Optimus Prime, Bumblebee dan Megatron, asyik menari.
Mengikut rentak lagu melalui speaker mudah alih, ketiga-tiga robot ini sebenarnya menari untuk menghiburkan pengunjung di Tebingan Kuching.
Walaupun tidak melakukan lompatan balik kuang serta aksi dalam filem, tariannya tetap melucukan.
Kanak-kanak antara yang sangat terhibur, walaupun mereka sedar robot ini digerakkan oleh seorang remaja atau seorang dewasa di dalamnya.
Malah, ada kanak-kanak, termasuk juga orang dewasa turut merakam gambar.
Di depan robot ini pula diletakkan satu beg atau bakul untuk memudahkan orang ramai memasukkan wang seikhlas hati sebagai sumbangan.
Ada yang mengenakan caj seikhlas hati hanya untuk bergambar.
Seperti penyanyi jalanan yang menyanyi atau bermain alat muzik, mereka mengharapkan orang ramai memasukkan wang ke dalam beg di depan mereka.
Begitu juga robot Transfomers tadi. Jika diperhatikan, rupa-rupanya, ia usaha mereka untuk mendapatkan wang lebih walaupun mempunyai pekerjaan lain pada siang hari.
Mereka menghiburkan orang ramai, kemudian orang ramai menghulurkan sumbangan.
Malah, melalui perbualan dengan seorang rakan, dia memaklumkan ada dalam kalangan pengendali robot (kostum) itu perlu membayar sewa kepada pemilik kostum berkenaan.
“Jumlah sewa saya tidak berapa tahu.
Namun, ada juga yang menerima berapa sahaja yang diberikan oleh penyewa. Penyewa juga mahu beramal,” katanya.
Biasanya penyewa kostum berkenaan ialah orang yang dikenali pemilik kostum.
Selain itu, ada juga yang membeli kostum tersebut dari Semenanjung. Jika mahu lebih murah, beli daripada peniaga di Indonesia.
Biasanya kostum terpakai. Harga mungkin separuh daripada harga asal.
Yang penting, masih dalam keadaan baik dan sempurna.
Banyak kostum Bukan satu, dua atau tiga, rupa-rupanya ada pelbagai kostum adiwira serta kartun popular di televisyen boleh dilihat di Tebingan Kuching.
Ada Spiderman, Donald Duck, dan banyak lagi.
Di satu sudut, mereka yang mengenakan kostum itu duduk berkumpul berehat. Wajah mereka kelihatan basah, mungkin kerana peluh disebabkan terlalu lama berada di dalam kostum itu.
Bayangkan jika pada siang hari, pasti berpeluh seluruh badan menahan kepanasan di dalam kostum itu.
Bukan hanya orang dewasa dan remaja, kanak-kanak turut memakai kostum adiwira tersebut.
Tidak jauh dari Jambatan Darul Hana Kuching, kelihatan seorang kanak-kanak menyarung kostum Spiderman sambil menari-nari.
Dia tiada radio, tetapi dia menari mengikut rentak muzik dari speaker pemakai kostum yang lain, tidak jauh darinya.
Mungkin kostum itu dibeli di pasar tidak jauh dari Tebingan Kuching.
Dia turut membawa satu beg kecil yang diletakkan di atas lantai di depannya.
Gerak tariannya memang nampak kekok dan ada ketika nampak sumbang.
Mungkin masih baru.
Sesekali dia menghulurkan tangan berjabat dengan kanakkanak yang lalu di depannya.
Ada kanak-kanak yang sudi berjabat tangan, ada juga yang berlalu sahaja. Senyum pun tidak! Dia tetap meneruskan tarian. Dia akan meletakkan tapak tangan kanan di dada kiri apabila ada orang memasukkan wang ke dalam begnya.
Tanda terima kasih dan mungkin bersyukur.
Bukan saya sahaja, rakan saya juga memerhatikan gelagat si pemakai kostum adiwira dan kartun popular di Tebingan Kuching.
Seorang rakan Facebook menggunakan nama Zamir Haji Mad mengungkapkan kehebatan mereka ini sebagai “Letih Seorang Dinasour” melalui penulisan di Facebooknya.
“Beribu-ribu orang datang seronok, kau letih cuba cari rezeki. Tahniah siapa pun kau. Tak ramai orang sekuat kau. “Ada yang saja jer kacau.
Ada yang buat tak tau.
Ada yang hulur seringgit dua, kau tetap lambai.
Kau berdiri berjam-jam. “Terus terang aku respect kau.
Aku tak sekuat engkau. Aku tak mampu buat apa yang kau buat.
“Semoga engkau dan kita semua dikurniakan rezeki yang melimpah ruah lagi berkat.”
Rencah hidup Tebingan Kuching Ketika berbual-bual singkat dengan salah seorang remaja yang turut memakai kostum adiwira, dia memberitahu, dia sudah biasa dengan suasana panas ketika berada di dalam kostum.
“Yang penting dapat sedikit duit untuk belanja esok hari,” katanya. Jelasnya lagi, “Jika cuaca malam baik, akan ada wang diperoleh sebab ramai pengunjung.
Jika hujan, kurang dapat duit, dan mungkin tiada duit untuk dibawa pulang ke rumah.”
Semua ini rencah hidup di Tebingan Kuching, selepas senja beransur hilang dan malam mula menjengah.
Pemakai kostum ini bukan buatnya suka-suka, tetapi dengan niat menghiburkan orang ramai yang lalu-lalang di depan mereka.
Mereka tidak minta banyak.
Walaupun orang masukkan RM1 ke dalam beg mereka, itu sudah memadai.
Kalau seorang beri RM1, bayangkan kalau ada 50 orang yang hulurkan sumbangan, ia menjadi RM50.
Mungkin sudah cukup untuk menampung hidup keesokan hari, sebelum sekali lagi memakai kostum itu, malam esok dan malam yang seterusnya.
Jadi, orang ramai yang lalulalang jangan hanya sekadar melihat, ketawa dan bergambar.
Hulur-hulurkan sedikit wang kepada mereka.
Jangan biarkan mereka pulang hampa! Mungkin dengan wang yang anda sumbang, dapat mereka membeli keperluan dapur untuk keluarga. Ini juga harapan pemuzik atau penyanyi jalanan.
Sambil menghibur dengan lagu-lagu popular yang dialunkan dengan kemerduan suara, mereka mengharapkan pengunjung menghulurkan sedikit wang.
Bertuahnya ada Tebingan Kuching.
Sekurang-kurangnya menyediakan ruang untuk sesiapa sahaja mencari rezeki sama ada berniaga, bermain alat muzik, menyanyi ataupun memakai kostum adiwira atau kartun.
Yang diharapkan hanya RM1 dari dalam poket kita.
Daftar e-paper STSS : https://stssapp.com/