Manfaat untuk komuniti Mulu

MULU: Masyarakat Mulu bakal mendapat manfaat daripada penyediaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang disediakan oleh SACOFA Sdn Bhd (Sacofa) Sarawak.

Ia berikutan pelancaran penyambungan jalur lebar berkelajuan tinggi yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pengarah Urusan Sacofa Zaid Zaini berkata, Mulu akan dilengkapi kemudahan dan perkhidmatan telekomunikasi yang menjadikannya setara dengan kawasan luar bandar lain di negara ini.

“Detik bersejarah ini pastinya akan memberi peluang yang besar kepada penduduk tempatan terutamanya pelajar, guru dan usahawan untuk meningkatkan taraf hidup mereka dari segi pembangunan ekonomi dan sosial.

“Mulu merupakan tempat istimewa bukan sahaja di Sarawak malah di mata dunia serta tersenarai dalam tapak warisan dunia pada November 2020.

“Sebagai tempat menjalankan program penyelidikan, kemudahan Internet yang baik amat diperlukan untuk mencari fakta dan menyebarkan maklumat apatah lagi ramai pelancong ingin berkongsi video dan gambar di media sosial,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tegasnya, medium penyambungan Internet yang sebelum ini melalui VSAT membataskan serta terhad lebih-lebih lagi ketika hujan.

“Kelajuan sambungan Internet sehingga 800mbps di Mulu, potensi Mulu dalam bidang pelancongan, e-dagang, perkhidmatan dalam talian dan pendidikan dapat dipertingkatkan.

Lebih menarik lagi, kata Zaid, pelancong yang datang boleh membuat pembayaran menggunakan aplikasi Sarawak Pay dan pelajar pula boleh melaksanakan kelas video dalam talian dengan guru di Miri dan Kuching.

Sesuai dengan tradisi lama, katanya, Sacofa menyediakan perkhidmatan Internet percuma merupakan tanggungjawab sosial di bawah program SACOFA4U di Telaga Air, Pulau Salak, Asajaya dan Batu Kawah.

Syarikat ini turut bekerja rapat dengan Adun Mulu, Datuk Gerawat Gala yang memperuntukkan kemudahan Internet kepada tiga sekolah di kawasan pentadbirannya.

Suara Sarawak