Manfaatkan bantuan kerajaan

TANJUNG MANIS: Penduduk di sini, terutama pengusaha kecil di perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan bantuan disediakan oleh Kerajaan Sarawak melalui pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertanian.

Ketua Kaum Kampung Baru Rajang, Rahayu Bidawi berkata, permohonan perlu mengikut saluran betul agar mereka yang layak menerimanya tidak terlepas pandang.

Menurutnya, kaum wanita di Kampung Rajang bertuah kerana berpeluang menikmati kemudahan itu. “Kebanyakan golongan wanita kampung ini mengusahakan peniagaan secara kecil-kecilan termasuk membuat dan menjual  kuih-muih.

“Saya tidak menafikan wakil rakyat kami, iaitu Adun Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh sentiasa memberikan galakan dan sokongan padu,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai bantuan terkini, Rahayu menjelaskan Len Talif yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, menghulurkan sumbangan kepada Dayang Zubaidah Abang Je.

Katanya, Dayang Zubaidah yang giat mengusahakan kuih-muih sejak beberapa tahun lalu menerima sumbangan berupa peralatan. “Saya mewakili penerima ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan wakil rakyat.

“Saya juga menggesa kaum wanita daerah ini yang aktif menjalankan perniagaan agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan oleh kerajaan,” kata Rahayu.

Kampung Rajang terkenal dengan kuih darling atau nama timangannya ‘ling’ yang dihasilkan oleh kaum wanitanya. Perkampungan kaum Melanau ini juga cukup popular sebagai pengeluar songket tenun yang berkualiti tinggi.

Menurut, Len Talif banyak membantu menghulurkan sumbangan selain mempromosi Songket Rajang ke seluruh negara, selain pasaran antarabangsa.

“Bantuan serupa Jabatan Pertanian masih dalam semakan untuk dimaju kepada Kementerian Permodenan Pertanian,Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah.

“Mana-mana mereka yang memerlukan bantuan ini, boleh mendaftar nama di Pusat Khidmat PBB Kuala Rajang di Sarikei atau Tanjung Manis atau dengan Ketua Kaum dan Ketua Ranting masing masing,” tambahnya.