Kanak-kanak berusia dua tahun antara lima maut kemalangan di Sibu

Trending

Manfaatkan peluang kerja

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Gambar hiasan

PENGANGGURAN dan ekonomi menjadi masalah yang terpaksa dihadapi masyarakat Malaysia selepas pandemik Covid-19.

Ini kerana banyak isu yang timbul, misalnya mereka yang diberhentikan atau lebih mudah kehilangan pekerjaan semasa wabak tersebut melanda.

Memang, tidak dinafikan ia sesuatu yang sangat mencabar, malah kadar pengangguran juga menjadi semakin serius dan perlu diberi perhatian khusus.

Sebelum Covid-19, isu pengangguran dalam kalangan masyarakat ini sinonim dengan siswazah yang baru menamatkan pengajian, atau mereka terlalu memilih pekerjaan.

Tetapi kini, keadaan sudah bebeza dan ia juga hakikat yang perlu kita semua terima.

Di Sarawak sahaja sebanyak 4,037 rakyat kehilangan pekerjaan akibat penularan Covid-19 sejak 2020.

Daripada jumlah tersebut, 3,002 individu hilang pekerjaan pada 2020 manakala 1,035 lagi menerima nasib yang sama pada 2021.

Namun, terdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan terutama, Kerajaan Sarawak untuk membela nasib rakyat ketika itu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Datuk Gerawat Gala juga memaklumkan, susulan perkara tersebut Kerajaan Sarawak telah melaksanakan beberapa langkah bagi menangani masalah pengangguran dalam kalangan rakyat yang terkesan akibat wabak itu.

Katanya, ia termasuk langkah untuk membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dengan melaksanakan program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (Gets).

Baca lain  Dadah dan modus operandi di Kuching

Selain itu, kerajaan juga melaksanakan program pembangunan tenaga kerja industri dengan kerjasama syarikat yang memberi latihan dalam industri.

Manakala, beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut mengadakan beberapa program untuk membuka peluang kepada pekerja yang hilang pekerjaan bagi mendapatkan semula kerja bersesuaian.

Antara langkah diambil Perkeso ialah “Go Rural Area Programme” (Grap) dan karnival kerjaya yang memberi maklumat mengenai peluang pekerjaan.

Apabila keadaan ekonomi kembali pulih, semakin banyak syarikat melaksanakan pameran pekerjaan seperti Sarawak Oil Palm Berhad dan Sarawak Petchem Sdn Bhd.

Dalam hal berkaitan, kadar pengangguran di Malaysia kekal 3.6 peratus pada Januari 2023 dengan bilangan penganggur menurun kepada 596,100 orang atau 0.6 peratus berbanding 599,600 orang pada bulan sebelumnya.

Demikian menurut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Januari 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan tenaga buruh pada Januari juga meningkat 0.2 peratus dengan merekodkan 16.16 juta orang berbanding 16.13 juta orang pada Disember, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) tidak berubah iaitu 69.8 peratus.

Baca lain  Bijak berbelanja, hargai bantuan

Menurutnya, pasaran buruh negara terus berada pada trend menaik berikutan peningkatan kedudukan aktiviti ekonomi semasa, selari dengan perkembangan ekonomi global.

Senario positif ini disumbangkan oleh peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus berkurang.

Beliau juga memberitahu kategori pekerja terus kekal sebagai komposisi terbesar dalam jumlah penduduk bekerja pada Januari 2023, merangkumi 75.7 peratus atau 12.24 juta orang berbanding 12.23 juta orang pada bulan sebelumnya.

Mohd Uzir memaklumkan trend yang sama dapat dilihat melibatkan kategori bekerja sendiri yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus atau 2.88 juta orang pada Januari, berbanding 2.86 juta orang pada Disember.

Bagi pekerja mengikut sektor ekonomi, beliau memberitahu sektor perkhidmatan terus mencatat pertumbuhan positif dalam guna tenaga terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit, pentadbiran dan khidmat sokongan selain sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta makanan.

Berhubung situasi pengangguran pada Januari, sebahagian besar penganggur adalah aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80.8 peratus iaitu daripada jumlah itu, 60.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.4 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Baca lain  Tunaikan janji, ikrar ketika kempen

Sementara itu, mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif menurun sebanyak 0.8 peratus kepada 114,500 orang berbanding 115,400 pada Disember.

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 11.5 peratus, dengan 328,800 orang belia menganggur berbanding 331,000 orang pada bulan sebelumnya, manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat 0.1 mata peratus kepada 7.0 peratus dengan mencatatkan 449,700 orang daripada 444,500 orang pada Disember.

Bagi bilangan luar tenaga buruh, mencatatkan penurunan sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang dengan 43.0 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada kategori kerja rumah atau tanggungjawab keluarga manakala 40.9 peratus dalam kategori bersekolah atau latihan.

Yang pasti, sebagai rakyat kita mengharapkan perkembangan positif dalam sektor ekonomi khususnya melibatkan peluang pekerjaan ketika ini.

Pembukaan sektor kilang baharu, perniagaan baharu dan sebagainya mampu meningkatkan peluang pekerjaan khususnya kepada belia.

Sebagai pencari kerja ambil peluang yang ada sebaik mungkin tetapi jangan sampai terjerat atas alasan terdesak. 

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

6 Jun 2023

Berita Terbaru